Jumaat, 28 Januari 2011

Bahasa Puitis Sajak


walaupun musnah harta dan benda,
harga diri janganlah jatuh,
binaan pertama walaupun runtuh,
kerja yang baru mulailah pula.

tahan haus tahanlah lapar,
bertemu sulit hendaklah tentang,
memohon-mohon jadilah pantang,
dari mengemis biarlah terkapar.


Nikmat Hidup.. Hamka


Pada pagi ini saya berkesempatan untuk mendengar motivasi pagi yang sering disiarkan di TV3. Saya tertarik dengan kata-kata yang dibacarakan oleh ustaz. Kata-kata tersebut dipetik daripada sajak Hamka iaitu Nikmat Hidup. Bahasa yang digunakan dalam sajak ini banyak berkaitan dengan kehidupan kita sebagai seorang manusia yang lemah. Perkara yang berlaku di sekeliling dijadikan contoh supaya dapat memberi gambaran yang jelas. Bahasa yang digunakan cukup puitis dan indah dan memberikan kesan kepada pembaca atau pendengar. Sajak ini bertujuan untuk memberi nasihat dan peringatan kepada manusia dalam mengharungi hidup yang mencabar.

KOMEN:

Terdapat juga perkataan yang digunakan kurang difahami oleh pembaca atau pendengar. Contohnya terkapar yang bermaksud terbaring, tidak berketentuan atau terlantar. Ayat yang digunakan juga mengandungi maksud yang tersirat iaitu tidak menyampaikan secara terus-terang. Perkara ini dapat dilihat dalam bait-bait sajak iaitu tahan haus tahanlah lapar yang membawa maksud bersabarlah dengan segala cubaan dan dugaan yang mendatang.

Khamis, 27 Januari 2011

Satu Bahasa


Situasi yang ingin diperkatakan pada hari ini ialah penggunaan bahasa rojak dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Bahasa rojak banyak digunakan dalam pertuturan sehari-hari sama ada bersama teman-teman mahupun dengan pensyarah. Contoh perbualan adalah antara mahasiswi yang sedang berbincang bersama rakannya mengenai penempatan untuk praktikum pada semester 7.
“Saya tak pasti lagi dapat ke tak sekolah tu, sekarang just pilih je sekolah tu dulu”
Komen:
Penggunaan bahasa saya menunjukkan mahasiswa dan mahasiswi di atas mempunyai hubungan yang boleh dianggap mengenali antara satu sama lain dan saling hormat-menghormati. Memang tidak dapat dinafikan pada masa kini penggunaan bahasa rojak sangat meluas tidak kira dalam perbualan secara lisan atau melalui kemajuan dalam bidang teknologi. Kebanyakannya menggabungkan bahasa Melayu, bahasa asing seperti bahasa Inggeris serta memasukkan bahasa dialek atau daerah. Kita sepatutnya dapat menguasai satu-satu bahasa dan menggunakannya secara betul dan menyeluruh tanpa diselitkan dengan bahasa lain. Jika berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu tidak usah dicampuradukkan dengan bahasa-bahasa lain. Hal demikian kerana dapat menggambarkan tahap komunikasi yang dimiliki oleh seseorang sama ada dapat menggunakan bahasa dengan betul atau sebaliknya.


Rabu, 26 Januari 2011

Lambang Warna


“Merahnya mak ngah”
“Putih melepak”
“Hitam legam”
“Hitamnya hati”
“Gelap hati “
“Buta hati”


Komen:

Setiap kiasan di atas mempunyai maksud yang tersirat dan tidak diungkapkan secara terus kepada seseorang. Sebagai contoh yang dapat diambil ialah hitamnya hati bukannya bermaksud hati yang bewarna hitam tetapi hati itu sendiri yang melambangkan sifat dalaman seseorang atau peribadi serta sahsiah diri yang rendah. Secara ringkasnya hitamnya hati adalah lebih cenderung untuk menerangkan kepada kita bahawa peribadi negatif yang dimiliki oleh seseorang. Hitam melambangkan sikap yang jahat.   Oleh itu, sesetengah daripada kita menggunakan kiasan tersebut untuk menggambarkan sesuatu yang buruk. Namun begitu, terdapat juga kata-kata di atas untuk mengungkapkan maksud untuk menggambarkan keperibadian seseorang. Sebagai contoh apabila seseorang itu memakai baju, tudung atau kasut bewarna merah, mungkin ada di antara teman-temannya yang berkata “Amboi, merahnya mak ngah”.



Selasa, 25 Januari 2011

Tutur Bicara

Situasi yang ingin dikongsi bersama pada hari ini ialah kisah semasa saya bersama saudara berkunjung ke pasar di sebuah bandar. Semasa berjalan-jalan di pasar untuk membeli barang-barang dapur. Tiba-tiba kami didatangi oleh tiga orang kanak-kanak yang berumur lingkungan lapan hingga sepuluh tahun. Di tangan mereka terdapat beberapa naskhah surah Yassin dan potongan ayat-ayat Al-Quran. Mereka menghulurkan ayat-ayat suci A-Quran kepada kami.

Anak kecil : Sedekah kak (sambil menghulurkan potongan ayat Al-Quran kepada saya
Saya          : Aku hanya mengangguk dan memberikan not yang berjumlah RM1
Anak Kecil : Tapi ini RM3.
Saya          : Hah??
Anak kecil : Ikhlas kak (seolah-olah memaksaku memberinya RM2 lagi)
Saya          : Tak apa lah. RM 1 ni ikhlas (menghulurkan kembali ayat suci Al-Quran yang diberikan)

Walau bagaimanapun anak kecil ini masih memaksaku untuk memberinya wang lebih.
Situasi saudaraku pula ialah

Anak kecil : Kak, sedekah ikhlas (sambil menghulurkan senaskhah surah Yassin)
Saudaraku : (Tidak berkata apa-apa sambil memberikan RM1 kepada kanak-kanak itu)
Anak kecil : RM5 kak
Saudaraku : Tadi cakap ikhlas, tak apalah akak sedekah RM1. Ambil duit sahaja dan tidak perlu surah Yassin.
Anak kecil : Masih memaksa untuk mendapatkan wang sebanyak RM5


Komen:

 
Perkataan ikhlas itu sendiri membawa maksud memberikan dengan ikhlas atau merelakan tanpa paksaan. Tetapi ramai di antara daripada kita menggunakan perkataan ikhlas ini untuk memperoleh simpati daripada orang lain atau pihak tertentu. Situasi di atas dapat menggambarkan bahawa kanak-kanak tersebut menggunakan retorik pemujukan untuk mendapatkan wang secara ikhlas namun pada hakikatnya perkataan dengan cara paksaan.

Isnin, 24 Januari 2011

Istilah 'orang tua'

Istilah orang tua dikaitkan dengan mereka yang telah berumur antara 50 dan ke atas. Saya juga mempunyai kedua ibu bapa yang sudah tua. Alhamdulillah mereka masih lagi sihat dan mampu bekerja untuk mencari rezeki. Cuba kita perhatikan di sekeliling kita, ramai daripada mereka yang sudah berumur dan boleh digelar sebagai warga emas namun mereka masih berjasa kepada kita. Sewaktu berada di dalam bas, saya melihat seorang pak cik sedang mengutip kotak-kotak dan tin-tin minuman. Mungkin barang-barang kitar semula ini dijual untuk mendapatkan wang. Begitu gigihnya usaha seorang yang sudah lanjut usianya mencari rezeki untuk keluarga. Catatan pada hari ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang digunakan semasa berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripada kita. Setiap hari kita menemui ramai golongan yang sudah berumur ini. Contohnya, saya sebagai pelajar di UPSI berhadapan dengan begitu ramai mereka yang sudah tua iaitu pensyarah sendiri, pemandu bas, tukang sapu, mereka yang berniaga di pasar malam atau kedai-kedai makan. Situasi yang dapat kita perhatikan selalunya semasa hendak turun daripada bas. Pelajar-pelajar yang menghargai khidmat pemandu bas akan mengucapkan
            “Terima kasih, pak cik”
            “Sama-sama”
Ada sesetengah pak cik hanya mampu mengangguk-angguk kepala menandakan ucapan yang diberikan diterima oleh mereka. Saya juga pernah mendengar ada seorang pelajar yang berkata
            “Bye, pak cik”
Pak cik itu hanya senyum memandangnya. Bagi saya ucapan itu sungguh mesra. Walaupun ada sesetengah pemandu bas yang tidak menunjukkan sebarang respons apabila ucapan terima kasih diberikan namun kita sebagai bakal guru perlu menghargai perkhidmatan dan jasa yang diberikan.

Komen:

Istilah “pak cik” dan “mak cik” lebih lembut dan halus daripada kita menggunakan perkataan orang tua. Contohnya situasi kita menunggu pemandu bas untuk bergerak kerana kita sudah lambat untuk ke kelas.
            “Ish, mana orang tua ni? Aku dah lambat ni” rungut seorang pelajar kepada kawannya.
            “ Sabarlah mungkin pak cik tu pergi makan atau solat” balas kawannya itu.
Istilah “pak cik” lebih mesra jika dibandingkan dengan perkataan “orang tua”.
Situasi lain adalah apabila melihat seorang yang sudah tua sedang mengutip barang-barang terpakai.
            “Tengok tu. Kasihan sungguh aku melihat orang tua itu”
            “ Tengok tu. Kasihan sungguh aku melihat pak cik itu”
Walaupun ujaran itu diucapkan dengan nada yang lembut atau belas kasihan, namun bagi sesetengah pendapat mengatakan istilah ‘orang tua’ agak kasar jika dibandingkan dengan istilah “pak cik” atau “mak cik”.

Jumaat, 21 Januari 2011

Bahasa dalam Mantera



Pada hari ini saya berkesempatan untuk menonton filem ‘Ngangkung’. Genre filem ini adalah komedi seram yang diarahkan oleh pengarah berbakat besar iaitu Ismail Hashim atau Bob. Filem ini banyak memasukkan unsur bahasa iaitu mantera sebagai daya tarikan penonton untuk menonton filem ini. Saya juga tertarik dengan bahasa yang digunakan dalam bacaan mantera. Ada sesetengah perkataan yang diujarkan dalam mantera ini agak melucukan dan ada juga yang saya sendiri tidak tahu maksud sebenar perkataan yang meniti di bibir bomoh. Dalam cerita ini juga ada diselitkan dengan loghat sesebuah negeri seperti bomoh yang terdapat dalam cerita ini menggunakan dialek Kelantan. Hal ini menggambarkan bomoh tersebut adalah berasal daripada Kelantan berdasarkan tutur bicaranya.




Komen: 


Mantera merupakan kata atau ayat yang apabila diucapkan dapat menimbulkan kuasa ghaib untuk menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Namun, pada hari ini mantera digunakan untuk tujuan yang menyalahi hukum syarak dan merupakan suatu perbuatan syirik. Bahasa yang digunakan kebanyakannya tidak difahami dan tidak logik dek akal. Apa pandangan anda tentang mantera? Pada pendapat saya bacaan mantera pada masa kini hanyalah terlintas di fikiran semata-mata. Tidak dapat dinafikan ada juga mantera yang masih mengutamakan ayat-ayat suci Al-Quran dan kata-kata memuji kebesaran Allah.
Contohnya yang pernah anda lihat dalam filem ‘Ngangkung’, perkataan yang disebut sebagai mantera ialah “Nabo ta sha”, “biskut bertemu marrie”, “utara bertemu selatan”, “timur bertemu barat”.

Khamis, 20 Januari 2011

Retorik Interpersonal

Penggunaan bahasa untuk hari ini ialah diambil berdasarkan situasi yang terdapat dalam buku Semantik dan Pragmatik. Sebagai contoh ialah sukar untuk mendengar pelanggan yang membuat bantahan atau sungutan secara agresif.
Contoh dialog dalam situasi perbincangan untuk memperoleh sesuatu keputusan.

Anda  : Kita memerlukan warna baru untuk produk ini.
Rakan: Saya cadangkan warna kuning, ia terang dan menarik apabila dilihat.
Anda  : (Diam dan merajuk. Dia rasa dihina kerana ideanya terus ditolak)

Komen:

Sepatutnya kita tidak boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu untuk menunjukkan tanda tidak setuju dengan cadangan yang dikemukakan. Sebaliknya kita perlu mewujudkan suatu prinsip kerjasama dengan menghargai dan menghormati perasaan orang lain. Perkataan-perkataan yang halus, lembut dan berdiplomasi ini akan menyebabkan orang lain akan terus mendengar. Alternatif lain seperti mengeluarkan kata-kata seperti
“Saya mengagumi pendapat anda yang teguh mengenai hal yang kita bincangkan ini tetapi saya percaya anda akan rasa berlainan setelah mendengar penerangan daripada saya nanti” atau
“Benar Ali, kita memerlukan warna yang terang dan menarik. Boleh Ali cadangkan satu warna lain yang dapat mengatasi masalah senang Nampak kotor seperti rungutan pelanggan. Pelanggan nampaknya kurang menyukai warna kuning.”



Rabu, 19 Januari 2011

Dialek dalam lagu

Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis lagu yang disampaikan menggunakan bahasa dialek atau loghat negeri masing-masing. Saya sebagai anak Kelantan berasa sungguh berbangga dengan seni dan budaya yang terdapat di negeri tanah tumpah yang tercinta ini. Kesenian bahasa terserlah melalui lagu-lagu dikir barat yang banyak mengandungi mesej yang berguna kepada masyarakat kita. Di sini sebagai contoh, saya mengambil lirik lagu dikir barat yang dinyanyikan oleh penyanyi dikir barat terkenal iaitu Halim Yazid melalui lagunya yang bertajuk ‘Tupai’. Saya ada terdengar lagu ini dalam radio THR  Gegar Pantai Timur yang dikeudarakan oleh juruhebah Isma Halil Hamzah. Mungkin ada di antara kalian tidak pernah mendengar lagu ini. Oleh itu, di sini saya ada menyediakan video lagu ini untuk tatapan semua.

Bait-bait lirik ini jelas menggambarkan kehidupan masyarakat tidak kira di bandar mahupun di kampung atau desa. Banyak pengajaran yang diperoleh melalui video ini. Semuanya amat berguna dalam kehidupan kita. Lagu ini juga boleh dikategorikan sebagai lagu rakyat. Hayatilah lirik lagu ini versi Kelantan.
LIRIK

Ado sekor…anok tupai…
Atas jula mokte…
kudung ekor..perut lapar…
jale cari make….

kejadie Tuhe..dipanggil namo tupai..
asalnyo dale hute…
sejenis mamalia…
kalu pasal jakit kot dehe…
diolah yang paling panda…
jatuh jaghe-jaghe
kerano dio tok sobar…
panda-panda tupai melopat
jatuh tanoh jugok…
nok wi kabar..oghe jahat…
jange terlajak manggak…

ooo…oghe zaman dulu…
pakat hambat tupai…
bimbang ko woh kayu …
takut tok de besar…
nyo durian duku…
kalu de nyo kerit tupai…
pendek tahun tuh…nyo durian tok de nok jual….
ooo…sekat bedil ado…
tupai habih mati….
hok ni lah sayo raso…
kito sangat rugi…

kito manusia…tinggi mano pon kito ngaji…
nok wak tupai sekor tentu skali nyo tok jadi
oooo…raso siye sunggoh….
tengok sekor anok tupai..
krano terlajok kuruh…
sapa tokleh niti pagar…
bulu-bulu pon habis luruh…
air mato bera-bera…
maghi dale baruh bokali keno racun bakar.

Lirik di bawah ini adalah alih bahasa lagu Tupai, yang dinyanyikan dalam loghat Kelantan oleh Halim Yazid.

ada seekor anak tupai
atas dahan rambutan
kudung ekor, perut lapar,
berjalan (merayau) cari makan
kejadian Tuhan, yang dipanggil nama (dinamakan) tupai
asalnya di dalam hutan, sejenis mamalia
kalau pasal berjangkit ke dahan, dialah yang paling pandai
jatuh jarang-jarang, pasal dia tak sabar
sepandai-pandai tupai melompat
jatuh ke tanah juga
nak menggambarkan kat orang jahat, jangan terlalu besar kepala
orang dulu-dulu, ramai-ramai kejar tupai
bimbangkan buah kayu (buah-buahan) tak sempat membesar,
nyior (kelapa), durian, duku kalau digigit tupai,
pendeknya tahun tu, kelapa durian tak sempat dan jual
orang sekampung, tupai seekor
berkejar hari-hari
pakat-pakat lingkung, pakat-pakat pekong(baling)
tupai tak sempat nak lari
bila senapang ada, tupai habis mati
yang inilah saya rasa, kita sangat rugi
kita manusia setinggi mana pun kita mengaji (belajar),
nak buat tupai seekor, tentu sekali takkan menjadi
sekarang ni di kampung atau di bandar
jarang boleh tengok
bapak tupai, ibu tupai.. berjalan bawak anak
rasa kesian sungguh tengok seekor anak tupai
kerana terlalu kurus, sampai tak boleh nak meniti pagar
bulu-bulu pun habis luruh, air mata berberai-berai (berderai-derai)
mari dari dalam baruh, barangkali (agaknya) kena racun tembakau

Komen:

Jika diperhatikan lagu yang dinyanyikan dalam versi Kelantan lebih ringkas dan pendek liriknya berbanding lirik lagu dalam bahasa baku atau standard. Berdasarkan lirik lagu, kita dapat mengenal pasti bahawa walaupun penggunaan perkataan yang digunakan adalah berbeza tetapi maksud yang disampaikan adalah sama. Contohnya perkataan manggak bermaksud besar kepala atau berlagak. Selain itu perkataan bokali yang menbawa maksud barangkali atau agaknya. Setiap bahasa mempunyai keunikannya yang tersendiri. Mereka yang bukan berasal daripada negeri Kelantan mungkin tidak tahu menyebut perkataan tersebut dengan betul. Pergaulan sehari-hari bersama rakan-rakan berlainan negeri menjadikan kita kaya dengan pelbagai bahasa dan loghat 1 Malaysia.

Selasa, 18 Januari 2011

Bahasa isyarat atau bahasa badan

Kisah pada hari ini berdasarkan penggunaan bahasa iaitu semasa kuliah KOMSAS berlangsung. Pada sesi pengajaran, Prof. Madya Dr. Hjh. Siti Khariah iaitu pensyarah untuk kursus ini ada membincangkan perkataan ‘seloroh’ yang bermaksud menyindir atau bergurau. Contoh yang diberikan ialah:
Si A : Cantiknya baju awak hari ini
Si B: Terima kasih.
Padahal sebenarnya Si A berkata demikian kerana si B tidak perasan bahawa Si A sebenarnya yang memakai baju baru. Oleh sebab si B tidak menegurnya makan Si A pun berkata sedemikian.
Dr. Khiriah juga ada berkata bahawa bahasa badan banyak digunakan oleh orang-orang tua. Contohnya orang tua tidak suka jika anak-anak mereka bergaul dengan kawan-kawan mereka semasa mereka bertandang ke rumah. Orang tua atau ibu bapa kita juga akan mengelakkan anak-anak mereka menyampuk jika mereka sedang bercakap. Oleh itu mereka akan menggunakan bahasa isyarat seperti mengenyitkan mata supaya kita masuk ke dalam bilik atau menyuruh kita membuat air untuk tetamu yang datang. Sesetengah anak remaja tidak memahami bahasa isyarat yang ditunjukkan itu.
Anak: Kenapa mak? Mak sakit mata ke?
Komen:
Kadang-kadang kita tidak dapat mentafsir maksud sebenar yang disampaikan seseorang kepada kita. Pandangan atau pendapat seseorang adalah berbeza dengan pendapat orang lain. Oleh sebab itu amatlah penting bagi kita memilih bahasa yang sesuai untuk dijadikan sebagai alat komunikasi. Bahasa badan atau isyarat bahasa yang hendak digunakan juga mestilah difahami oleh orang yang diajak berbual. Jika tidak pastinya akan menimbulkan kekeliruan bagi pendengar atau orang sekeliling.

Isnin, 17 Januari 2011

Penggunaan Bahasa Inggeris

Hari ini merupakan hari pertama saya memulakan penulisan diari siswi ini. Situasi pada hari ini ialah berkaitan dengan amanat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Aminah Ayob yang diselitkan semasa kuliah berlangsung. Pensyarah kursus Sosiolinguistik kami, Dr. Siti Saniah binti Abu Bakar mengatakan bahawa Naib Canselor menekankan SCL iaitu Student Centerd  Learning. Contohnya proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak semata-mata bertumpu kepada guru. Pelajar tidak sepatutnya hanya bergantung kepada guru semata-mata untuk memberikan ilmu dan bahan pengajaran tetapi pelajar perlu mencari alternatif sendiri.  Sikap kerjasama ini akan menjadikan pelajar lebih berdikari dalam mengatur strategi pelajaran mereka

Komen:

Walaupun kami mengambil Ijazah Pendidikan Bahasa Melayu, kami turut didedahkan oleh pensyarah dengan penggunaan Bahasa Inggeris selain Bahasa Melayu. Beliau turut menerangkan kepada kepada kami maksud sebenar yang diperkatakan berkaitan SCL itu. Suatu maklumat baru yang kami peroleh walaupun tidak mendengar sendiri amanat daripada Naib Canselor itu.