Isnin, 24 Januari 2011

Istilah 'orang tua'

Istilah orang tua dikaitkan dengan mereka yang telah berumur antara 50 dan ke atas. Saya juga mempunyai kedua ibu bapa yang sudah tua. Alhamdulillah mereka masih lagi sihat dan mampu bekerja untuk mencari rezeki. Cuba kita perhatikan di sekeliling kita, ramai daripada mereka yang sudah berumur dan boleh digelar sebagai warga emas namun mereka masih berjasa kepada kita. Sewaktu berada di dalam bas, saya melihat seorang pak cik sedang mengutip kotak-kotak dan tin-tin minuman. Mungkin barang-barang kitar semula ini dijual untuk mendapatkan wang. Begitu gigihnya usaha seorang yang sudah lanjut usianya mencari rezeki untuk keluarga. Catatan pada hari ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang digunakan semasa berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripada kita. Setiap hari kita menemui ramai golongan yang sudah berumur ini. Contohnya, saya sebagai pelajar di UPSI berhadapan dengan begitu ramai mereka yang sudah tua iaitu pensyarah sendiri, pemandu bas, tukang sapu, mereka yang berniaga di pasar malam atau kedai-kedai makan. Situasi yang dapat kita perhatikan selalunya semasa hendak turun daripada bas. Pelajar-pelajar yang menghargai khidmat pemandu bas akan mengucapkan
            “Terima kasih, pak cik”
            “Sama-sama”
Ada sesetengah pak cik hanya mampu mengangguk-angguk kepala menandakan ucapan yang diberikan diterima oleh mereka. Saya juga pernah mendengar ada seorang pelajar yang berkata
            “Bye, pak cik”
Pak cik itu hanya senyum memandangnya. Bagi saya ucapan itu sungguh mesra. Walaupun ada sesetengah pemandu bas yang tidak menunjukkan sebarang respons apabila ucapan terima kasih diberikan namun kita sebagai bakal guru perlu menghargai perkhidmatan dan jasa yang diberikan.

Komen:

Istilah “pak cik” dan “mak cik” lebih lembut dan halus daripada kita menggunakan perkataan orang tua. Contohnya situasi kita menunggu pemandu bas untuk bergerak kerana kita sudah lambat untuk ke kelas.
            “Ish, mana orang tua ni? Aku dah lambat ni” rungut seorang pelajar kepada kawannya.
            “ Sabarlah mungkin pak cik tu pergi makan atau solat” balas kawannya itu.
Istilah “pak cik” lebih mesra jika dibandingkan dengan perkataan “orang tua”.
Situasi lain adalah apabila melihat seorang yang sudah tua sedang mengutip barang-barang terpakai.
            “Tengok tu. Kasihan sungguh aku melihat orang tua itu”
            “ Tengok tu. Kasihan sungguh aku melihat pak cik itu”
Walaupun ujaran itu diucapkan dengan nada yang lembut atau belas kasihan, namun bagi sesetengah pendapat mengatakan istilah ‘orang tua’ agak kasar jika dibandingkan dengan istilah “pak cik” atau “mak cik”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan