Jumaat, 18 Mac 2011

Motivasi Bahasa Agama


Walaupun sibuk melakukan pelbagai tugasan yang masih belum diselesaikan, saya masih mempunyai kesempatan untuk membaca dua buah buku yang berunsur agama dan motivasi yang sangat berguna untuk bergelar sebagai muslimah sejati. Dua buah buku yang dimaksudkan ialah Riwayat Bidadari Syurga hasil tulisan Munif Ahmad dan sebuah buku lagi ialah Sejuta Cinta untuk Ibunda karya Burhan Sodiq. Buku Riwayat Bidadari Syurga menampilkan tema penceritaan sejarah srikandi Islam, kehebatan wanita-wanita terdahulu memperjuangkan Islam dan kesanggupan mereka untuk mati kerana Islam. Buku ini juga turut disertakan dengan lirik-lirik lagu nasyid yang sering berkumandang di radio-radio seperti Sumayyah, Ratu Syahadah, Ainul Mardiah, Aisya Humaira dan banyak lagi. Buku Sejuta Cinta untuk Ibunda pula ialah sebuah naskhah yang seharusnya dimiliki oleh setiap daripada kita yang bergelar anak kerana setiap daripada kita lahir ke dunia kerana ibu. Tanpa ibu, siapalah kita. Hanya dengan reda ibu dan bapa, kita dapat memiliki reda Allah.


Komen:

Pada pandangan saya, kedua-dua buah buku ini sangat menarik untuk dibaca kerana menyentuh soal keagamaan dan dunia pada hari ini. Bahasa yang digunakan dalam buku ini sangat puitis diselitkan dengan unsur- unsur Islam dengan mengemukakan hadis sebagai hujah yang kukuh kepada setiap sesuatu yang diperkatakan. Sememangnya, kedua-dua buah buku ini mampu menyentuh perasaan pembaca sehingga berjaya menitiskan air mata bagi mereka yang menghayati setiap cerita dan kisah yang disampaikan. Pengarang bijak dalam pemilihan kata-kata sehingga dapat memberikan motivasi dan kesedaran kepada pembaca. Pengarang juga banyak menggunakan laras agama iaitu mengemukakan ayat-ayat suci Al-Quran berkaitan topik yang diketengahkan. Pembacaan yang dibuat mampu memberikan impak yang positif terhadap diri pembaca.


Khamis, 17 Mac 2011

Kata Nama dan Kata Kerja

Gambar yang dipaparkan di bawah merupakan kesalahan dalam penggunaan kata nama dan kata kerja.  Kesalahan yang dapat dikenal pasti ialah salah daripada segi ejaan dan penggunaan perkataan kata kerja.





KOMen:

Sememangnya perkataan ‘hotdog’ diambil daripada perkataan bahasa Inggeris. Namun begitu, kita tidak seharusnya mengeja mengikut sebutan dalam bahasa Melayu seperti yang terdapat dalam gambar di atas iaitu ‘hokdog’. Papan tanda yang kedua pula, penggunaan frasa ‘kerja di jalan’ adalah tidak tepat dan salah daripada segi tatabahasa sepatutnya ‘kerja sedang dijalankan’. Jika menggunakan ‘kerja di jalan’ maksudnya bekerja di jalan iaitu menggambarkan tempat kerana menggunakan kata sendi ‘di’. Oleh itu, penyataan di atas perlu ditukarkan kepada ‘kerja sedang dijalankan’ untuk menggambarkan kerja yang sedang dilakukan. Pihak yang terbabit perlu mengambi berat masalah penggunaan bahasa ini lebih-lebih lagi digunakan di tempat awam dan menjadi perhatian daripada orang ramai. Kita seharusnya menegur dengan cara yang berhemah supaya pihak yang terbabit memperbetulkan kesalahan yang dilakukan.


Ahad, 13 Mac 2011

Berkongsi Pendapat

Saya sedang mengisi minyak di stesen Petronas. Lori kecil di depan saya sarat dengan skuter vespa. Saya meninjau-ninjau. Saya teringat zaman muda tatkala menjadi siswa. Saya bercerita pada pemandu lori itu saya pernah ada skuter Lambretta. Harga Lambretta saya cuma RM800 saja.

Lalu pemandu lori ini berkata, "Yang ini harganya RM10,000...." Dan kata pemandu lori itu lagi, "Vespa ini dihantar ke Kelantan. Mereka banyak duit, mereka bayar tunai!!!



Komen:
Cerita di atas adalah diambil daripada laman sosial facebook milik Prof. Emeritus Dr Abdullah Hasaan. Berdasarkan dialog yang diujarkan oleh kedua-dua penutur di atas, saya dapati wujud interaksi sosial antara mereka berdua walaupun hanya sekadar bertemu secara kebetulan dan mempunyai minat yang sama berdasarkan topik yang diperkatakan. Pemandu lori juga dapat digambarkan sebagai seorang yang ramah dan senang bergaul. Kata-kata penegasan turut ditunjukkan oleh pemandu lori tersebut semasa menceritakan vespa-vespa yang dibawanya. Kata-kata yang diujarkan juga menggambarkan pemnadu lori tersebut begitu kagum dengan orang Kelantan yang mampu untuk membayar harga skuter vespa yang agak mahal itu. Nada atau intonasi yang diujarkan oleh pemandu lori tersebut menunjukkan perasaan kagumnya terhadap orang Kelantan.


Mendulang Paku Serpih

Peribahasa mendulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.  Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang pernah mendengar peribahasa ini. Kisah yang ingin disampaikan adalah bersesuaian dengan peribahasa di atas.
Alkisah pada suatu malam ketika seorang wanita ingin pulang ke kampung bersama rakannya, mereka berbual kosong sambil menikmati kedinginan malam dan meneroka kesepian malam sepanjang perjalanan. Sedang penumpang lain sedang nyenyak tidur, mereka berdua berbicara tentang penampilan diri masing-masing.
Qasidah                : Wah, cantiknya jam engkau!
Juriah                    : (Tersenyum)Aku beli online ni. Kat facebook.
Qasidah                : Berapa hinggit?
Juriah                    : Murah jer. RM70.
Qasidah                : Boleh tahan.
Juriah                    : Nanti tengok la dalam fb. Banyak lagi yang cantik.
Qasidah                : Nantilah aku tengok.
Juriah                    : Tudung kau ni beli online jugak kn? RM50 sehelai kn?
Qasidah                : Ya. Tapi aku beli dua je.
Juriah                    : Dua dah seratus. Nasib baik aku beli jam ni. Berbaloi la daripada beli tudung ni.

Sebulan kemudian
Juriah                    : Cantiklah tudung tu. Aku suka.
Balqis                    : Kan aku dah kata, tudung tu cantik.
Juriah                    : Nanti kalau ada yang terbaru jangan lupa inform kat aku.
Balqis                    : Ok2
Qasidah                : Apa yang cantik-cantik ni?
Balqis                    : Tudung yang kita beli tu lah.
Qasidah                : Oh. Dah dapat ke?
Juriah                    : Cantik.
Qasidah                : Aku ingat lagi kau cakap tak berbaloi beli tudung ni. Mahal sangat. Tapi, kau juga yang beli.
Juriah                    : (Ketawa). Aku tarik balik kata-kata aku.

 
Komen:
Berdasarkan situasi di atas, pengajaran yang boleh dibuat ialah kita perlulah berhati-hati mengeluarkan kata-kata yang mungkin kita sendiri tidak mampu menduga kesan yang akan diterima oleh penutur dan pendengar. Sebagai contoh, kita dapat gambarkan situasi di atas dengan satu lagi peribahasa iaitu terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Pada awalnya Juriah merasakan tindakan Qasidah membeli tudung yang agak mahal itu adalah tidak berbaloi, tetapi akhirnya dia sendiri yang melakukannya.



Sabtu, 12 Mac 2011

Lawak Pengubat Duka

Mungkin anda semua pernah menonton satu siri Raja Lawak  terbitan Astro. Kini rancangan ini telah masuk musim kelima. Ada sesetengah daripada peserta yang menyertai rancangan realiti Raja Lawak ini bertujuan untuk menimba pengalaman dan tidak kurang juga ada yang mahu menjadi popular atau terkenal. Baru-baru ini saya sempat menonton persembahan salah seorang peserta yang mampu membuatkan penonton tidak kering gusi dengan telatah lawaknya iaitu Nazmi.


Komen:
Kata-kata yang digunakan agak menarik walaupun hanya mengulang perkataan yang sama iaitu “kau tipu-tipu aku lagi”. Pada pendapat saya, peserta ini mampu berkomunikasi dengan baik di hadapan penonton dan mampu mengawal tingkah lakunya. Bahasa badannya juga menarik, nada dan intonasi suaranya juga pelbagai iaitu tinggi dan rendah. Cara beliau menyampaikan cerita juga senang difahami oleh penonton melalui gerak geri anggota badan. Melalui persembahan yang dilakukan, peserta tersebut mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang diperkatakan walaupun ada kalanya beliau terlupa skrip yang ditulis.

Jumaat, 11 Mac 2011

Kata Orang Tua-Tua


Diari pada kali ini berdasarkan situasi yang terdapat dalam gambar seperti di bawah.










Komen:

Orang tua-tua ni kuat berpesan. Hal ini demikian kerana mereka lebih dulu makan garam dari orang muda. Semua yang dipesannya itu mempunyai sebab yang tertentu bukannya suka-suka. Kebiasaannya adalah untuk menjaga adab kita sebagai orang timur. Namun begitu, orang muda yang terlebih bijak pada masa kini semakin rajin membidas. Tidak logik katanya. Tetapi kata orang tua-tua tu kadang-kadang ada betulnya. Pantang larang ini selalunya berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Orang tua-tua tidak menegur dengan menggunakan cara yang keras tetapi menggunakan bahasa yang lembut dan mempunyai makna yang tersirat di sebaliknya. Ia terpulang kepada kita untuk menilai mana yang baik dan buruk walaupun ada yang dikatakan itu tidal relevan dengan dunia yang sudah moden kini.

Khamis, 10 Mac 2011

Kata Berlapik

Seringkali kita mendengar bebelan daripada orang yang lebih tua dan berumur daripada kita. Sebagai contoh yang paling dekat dengan kita ialah ibu bapa kita sendiri. Ibu bapa akan menjaga tatatertib mereka semasa bercakap dengan anak-anak. Mereka tidak akan bercakap sesuatu perkara yang buruk terutamanya apabila bersama anak-anak. Mungkin anda semua pernah mendengar ibu atau ayah anda berkata:
“bertuah punya anak”
“Bertuah punya budak”
Ujaran di atas melambangkan betapa orang tua-tua begitu menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka. Hal ini demikian kerana, setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang merupakan doa dan bayangkan jika perkataan yang diujarkan itu agak kasar, pastinya sesuatu yang kita sendiri tidak jangka akan berlaku.
Komen:
Orang pada zaman dahulu begitu prihatin dan berhari-hati dalam menuturkan sesuatu agar tidak menyesal di kemudian hari. Jika anaknya melakukan kesalahan sekalipun, mereka tidak akan melenting dan tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat kerana bimbang akan mengguris hati anak-anak yang masih mentah. Walaupun emosi mereka dalam keadaan marah, tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa kepada sesuatu yang di luar batasan dan kawalan mereka.