Selasa, 8 Mac 2011

Pembentangan atau Pengajaran

Pada pagi ini, kami telah ditugaskan untuk melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi kursus Kesusasteraan dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) di bawah seliaan pensyarah Prof. Madya Dr. Hjh Siti Khariah Binti Mohd Zubir. Setiap kumpulan terdiri daripada sembilan orang ahli. Walaupun hanya seorang wakil sahaja yang berperanan sebagai guru, tetapi semua ahli dalam setiap kumpulan diminta untuk tampil ke hadapan bagi mewujudkan semangat kerjasama dalam kumpulan. Setiap kumpulan mestilah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sebagai panduan kepada pensyarah untuk menilai. Namun, mungkin nasib tidak menyebelahi kumpulan yang pertama kerana pengajaran mereka tidak menepati skop yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Mereka ada menyediakan bahan untuk pengajaran tetapi tidak menggunakan bahasa yang betul untuk menggambarkan situasi proses P&P yang sebenar iaitu interaksi antara guru dan pelajar.  Sebagai contoh, perhatikan petikan di bawah:

“Pada hari ini, saya akan membentangkan RPH berkaitan sinopsis dalam novel Kabus di Perbukitan.  Saya akan memulakan dengan induksi set. Saya akan memaparkan sebuah video dan cuba kamu hayati kisah yang terdapat dalam video ini”

Pensyarah telah mengingatkan kumpulan tersebut supaya berinteraksi dalam situasi sebenar seperti di dalam kelas, contohnya:
“Pada hari ini, saya akan mulakan kelas dengan satu paparan video dan kamu dikehendaki melihat dan menghayati video tersebut.”
Namun, mereka masih tidak dapat memahami teguran pensyarah tersebut dan meneruskan pengajaran seolah-olah seperti melakukan pembentangan tugasan yang diberikan dengan membaca sinopsis bagi novel tersebut bab demi bab. Pelajar tersebut hanya membaca paparan di skrin tanpa adanya interaksi dua hala dengan pelajar. pensyarah terpaksa memberhentikan persembahan tugasan bagi kumpulan mereka dan diteruskan dengan kumpulan yang seterusnya.
Komen:

Walaupun menerima kritikan dan teguran daripada pensyarah, ahli dalam kumpulan tersebut tidak melenting dan menunjukka sikap yang positif tanpa tanda protes dan tidak berpuas hati. Pensyarah juga menegur kesilapan mereka dengan penuh kesantunan dan etika agar mereka tidak berkecil hati dengan kata-kata yang dilontarkan. Teguran yang baik dan membina mampu menaikkan semangat pelajar untuk memperbaiki kesalahan yang dilakukan agar tidak berulang pada masa hadapan. Kata yang diujarkan oleh pensyarah kepada mereka menggambarkan pensyarah juga turut menghormati pelajar dan menegur denga cara yang lembut bukannya mengeluarkan kata-kata yang kasar.
“Saya minta maaf ye. Tetapi kamu harus memberhentikan pembentangan dan saya minta kamu dapat lakukannya semula pada masa hadapan. Pembentangan pada hari ini saya tidak akan mengambil kira markahnya. Saya akan memberi peluang kepada kamu untuk lakukannya sekali lagi. Saya harap kamu semua tidak berkecil hati.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan