Isnin, 14 Februari 2011

Pantun Warisan Berzaman

Pada hari ini saya berkesempatan untuk menjenguk ke laman sosial iaitu facebook milik Datin Asima Abdul Latiff. Saya begitu mengagumi pantun-pantun yang dihasilkan dan ditulis dalam facebook ini. Pantun-pantun yang ditulis menjadi pujian dan begitu menarik dengan menggunakan bahasa yang puitis. Pantun-pantun ini juga menarik minat sahabat-sahabatnya yang turut mempunyai minat yang sama. Berbalas-balas pantun menjadikan ikatan semakin erat dan mengandungi pelbagai tema yang menarik. Di sini saya ada sertakan pantun-pantun yang diperoleh daripada laman facebook beliau yang mengandungi pelbagai tema terutamanya persaudaraan sesama insan.
                                               
                             
Gadis Melayu
Singgah di Muar usahlah lupa,
Urap beremi pembuka selera;
Bangga si ibu bangga si bapa,
Punyai anak cukup segala.
Dalam perahu buah kelapa,
Kelapa dibilang satu persatu;
Kalaulah tahu anak siapa,
Nak saya pinang buat menantu.
serabai,keranji,pisang dan betik,
turut ku hidang jeruk kedondong;
pandai mengaji,wajah pun cantik,
sungguh sejuk perut ibu mengandung.
Kuih serabai manisan betik,
Dihidang juga pisang sesikat;
Mengaji pandai rupa pun cantik,
Lembut bahasa ramai terpikat.
Guru
Di dalam kolah banyak puru,
puru dibuang di dalam paya;
Ramai guru dikatakan guru,
guru yang mana membawa cahaya?
Kalau berburu di hutan Kediri,
Jangan pula pergi sendiri;
Jika guru kencing berdiri,
Murid pula kencing berlari.
Heboh di Sibu orang diliwat,
ibunda menangis mengenang anak;
Lurusnya paku ada alamat,
sudah dikikis hujung berombak?
Lurus jarum lurus kelindan,
kain yang robek dijahit bidan;
Yang baik jadikan tauladan,
yang buruk jadikan sempadan.
Cinta
Sulam manik indah rupawan,
berseri lagi sulam kerawang;
bila jauh rindu-rinduan,
bila dekat bertambah sayang.
bila jauh berkirim salam,
sudah dekat berkunjung-kunjungan;
meskipun jauh di hujung alam,
kasihmu tetap dalam kenangan.
Ulam pegaga tambah selera,
daun sireh bertemu urat;
hidup di dunia hanya sementara,
carilah keberkatan dunia dan akhirat.
Songket
Mudik-mudik orang berakit
Bujang memancing ikan temoleh
Hilang batik berganti songket
Songket berganding cindai terpilih
Bertanam betik di Kampung Tualang,
Di Kampung Telian bertanam rumbia;
Batik cantik songket gemilang,
Hadiah bangsa buat dunia.
             
Komen:
Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang berangkap. Jika setiap rangkap terdiri daripada empat baris, maka dua baris pertama itu dikenali sebagai pembayang dan dua baris lagi mengandungi maksud. Kini, pantun masih lagi digunakan dan menjadi alat komunikasi dalam masyarakat Melayu. Pantun masih menjadi pilihan sama ada dalam upacara rasmi mahupun perbualan harian biasa. Warisan Melayu ini harus dikekalkan kerana bahasa yang terdapat dalam pantun merupakan seni yang cukup indah dan puitis. Jika diperhatikan daripada contoh-contoh pantun yang dihasilkan di atas, bahasa yang digunakan amat bersesuaian dengan masyarakay kita pada hari ini dan zaman dahulu iaitu seola-olah terdapat kesinambungan antara kedua-duanya. Oleh itu, bahasa merupakan warisan berzaman yang harus dipelihara agar keseniannya tidak tercemar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan