Jumaat, 25 Februari 2011

Kata-kata Perangsang

Mereka yang akan bergelar  sebagai seorang guru seharusnya tahu cara dan adab berkomunikasi dengan cara yang betul dengan pelajar mahupun masyarakat sekeliling. Pelajar perlu sentiasa diberikan motivasi yang membina untuk meningkatkan keyakinan mereka dan menaikkan semangat untuk terus belajar. Kata-kata perangsang yang diberikan kepada pelajar dapat memupuk minat dan kesungguhan mereka dalam setiap pekerjaan atau aktiviti yang dilakukan walaupun terdapat kesalahan.
Sebagai contoh dapat kita lihat situasi atau keadaan di dalam kelas iaitu semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) berlangsung. Ada kalanya guru akan menyoal atau menyuruh pelajar menjawab soalan terhadap soalan yang dikemukakan. Tidak semua pelajar akan memberikan jawapan yang betul dan tepat terhadap soalan yang diberikan oleh guru. Walaupun jawapan yang diberikan salah atau kurang tepat, guru perlu memberikan pujian dan kata-kata perangsang untuk pelajar agar mereka dapat merasakan bahawa guru menghargai sikap mereka yang berani untuk mencuba.
Contoh:
“Sila berikan tepukan kepada kawan kita kerana berani untuk mencuba.”
“Terima kasih atas jawapan yang kamu berikan.”
“Jawapan kamu betul, cuma kurang tepat. Cikgu ada sedikit penambahan.”
“Bagus.”
Pujian tidak seharusnya diberikan kepada pelajar yang dapat menjawab dengan betul sahaja tetapi juga kepada pelajar lain yang menjawab walaupun jawapan yang diberikan salah atau kurang tepat.

Komen:

Setiap orang perlu menghargai mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat sekeliling kerana dalam sesebuah negara kita hidup dalam komuniti sosial yang berbeza. Sebagai contoh yang kita dapat lihat di atas apabila berlakunya interaksi dalam komuniti di sekolah iaitu antara guru dan pelajar. Penghargaan harus diberikan walaupun dengan menggunakan sepatah perkataan sahaja untuk menunjukkan kepada mereka sikap saling menghargai di atas kerjasama yang diberikan walaupun tidak sepenuhnya. Kata-kata perangsang yang dilontarkan dapat menjadikan seseorang pelajar lebih berwawasan. Kata-kata penghargaan ini juga membolehkan seseorang itu dinilai sebagai insan yang berbudi bahasa dan mempunyai etika dalam berbahasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan