Rabu, 9 Februari 2011

Majulah sukan untuk negara

Tajuk pada hari ini ialah berkaitan dengan bahasa yang digunakan untuk menaikkan semangat sesuatu pasukan. Setiap pasukan sudah semestinya mempunyai kata-kata atau laungan semangat masing-masing bagi menggambarkan kekuatan pasukan masing-masing. Sebagai contoh, kita dapat melihat sendiri laungan untuk sesuatu pasukan terutamanya dalam sukan bola sepak. Pasukan bola sepak setiap negeri mempunyai slogan atau laungan semangat masing-masing. Sesetengahnya dijadikan sebagai lagu bagi menampakkan lagi semangat berpasukan serta sokongan padu yang diberikan. Contohnya bagi pasukan bola sepak negeri Kelantan, kata-kata yang dilaungkan ialah Gomo Kelate Gomo, Negeri Sembilan pula ialah Hoben Jang Hoben, Kedah pula ialah Pulun Kedah Pulun dan banyak lagi contoh lain.









                             
Komen:

Setiap negeri mempunyai loghat atau dialeknya yang tersendiri. Bahasa yang digunakan dalam contoh di atas adalah untuk menunjukkan cinta terhadap negeri kelahiran masing-masing. Setiap perkataan yang dijadikan motto bagi pasukan masing-masing melambangkan semangat berpasukan dan bahasa dapat menyatukan semua rakyat di sesebuah negeri atau daerah. Kekuatan sesebuah pasukan juga bergantung kepada kata-kata semangat yang dilaungkan oleh penyokong. Bahasa atau dialek akan dapat menambah keyakinan untuk terus mara.

Selasa, 8 Februari 2011

Ketegasan dalam Berbahasa

Scott tidak siap tugasan. Dia mahu meminta pelepasan daripada cikgunya untuk menghantar tugasan lewat beberapa hari kemudian. Dia mendapat tahu bahawa cikgunya memberikan kebenaran kepada 2 orang pelajar lain untuk menghantar tugasan lewat kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat.
Scott     : Asalamualaikum cikgu. Saya nak beritahu cikgu sesuatu ni.
Cikgu     :Walaikumsalam. Apa tujuan kamu?
Scott     : Saya nak minta kebenaran cikgu untuk menghantar tugasan lewat.
Cikgu     :Kenapa kamu nak menghantar lewat?
Scott     : Tugasan saya susah cikgu. Saya tak cukup masa untuk membuatnya.
Cikgu     :Apa? Kamu cakap tidak cukup masa? Saya telah beri kamu semua tempoh selama sebulan.    Takkan tempoh tu tak cukup?
Scott     : Sebenarnya komputer saya rosak cikgu. Saya dah hantar ke kedai untuk membaikinya.
Cikgu     :Kamu hantar ke kedai bila?
Scott     : Em.. 2 minggu lepas cikgu.
Cikgu     :Jadi apa masalah kamu sebab tak buat kerja dalam dua minggu ini?
Scott     : Komputer yang saya baiki rosak lagi cikgu.
Cikgu     :Rosak lagi? Kenapa kamu tidak pergi ke cyber cafe? Bukan ke sekarang CC banyak?
Scott     : CC banyak yang tutup cikgu. Cuti thaipusam. Lebihpun sewa CC mahal cikgu rm3.50/sejam. Saya tak mampu?
Cikgu     :Tak mampu? Bukan ke awak tinggal dengan kawan2 di rumah sewa? Awak boleh berkongsi komputer dengan kawan kan?
Scott     : Kawan-kawan balik kampung cikgu.
Cikgu     :Bila pula kawan balik kampung ni? Hah, kamu ni suka saja memberikan alasan. Saya dah kenal kamu 3 tahun dah cikgu ajar kamu. Ayat yang sama saja kamu beri. Ada sahaja alasan kamu berikan untuk menghantar tugasan lewat!
Scott     : Sebenarnya lampu rumah saya blackout cikgu.
Cikgu     :Bila pula lampu rumah kamu blackout?
Scott     : Malam tadi cikgu.
Cikgu     :Malam tadi?habis apa yang kamu buat selama ni? Cikgu tak marah ni. Tapi cikgu nak beritahu kamu bahawa seorang pelajar mestilah ada nilai disiplin. Apa yang kamu nak jadi ni? Kamu mesti bertanggungjawab dengan amanah dan tugasan yang cikgu berikan. Jika kamu teruskan dengan sikap kamu yang suka menangguhkan kerja ini, susah kamu hendak dapat kerja nanti. Kamu mesti berubah. Tiada majikan yang nak mengambil kamu bekerja dengan sikap kamu yang malas macam ini! Suka memberikan alasan!
Scott     : Em.. cikgu boleh tangguhkan penghantaran tugasan Safuan dan Irzham? Kenapa saya tidak boleh? Cikgu pilih kasih..
Cikgu     :Cuba kamu beritahu apa tajuk kamu?
Scott     : Tajuk saya ‘Senarai Negeri-negeri Selat’.
Cikgu     :Apa? Kamu cakap tajuk ‘Senarai Negeri-negeri Selat’ susah?? Tak perlu buat rujukan pun dah tahu jawapannya. Kan cikgu dah cerita dalam kelas hari tu?
Tajuk kawan kamu tu ‘Cara Pemerintahan James Brooke” dan “Isi kandungan Perjanjian Pangkor”. Memang patut pun cikgu beri penangguhan pada mereka untuk menghantar tugasan lewat. Tajuk mereka susah dan perlukan rujukan dari pelbagai sumber. Tajuk kamu sangat senang. Cikgu tak mahu kamu berikan alasan lagi. Cikgu nak esok kamu hantar tugasan juga bersama rakan-rakan lain. Jika tidak, cikgu akan pastikan kamu mendapat “0” dalam tugasan kamu ini. Faham?
Scott     : Baik cikgu..

Komen:


Berdasarkan dialog di atas kita dapat lihat bahawa pelbagai alasan dikemukakan oleh Scott untuk memujuk gurunya untuk menghantar tugasan lewat lebih daripada tarikh yang sepatutnya. Scott telah menggunakan retorik pemujukan untuk mempengaruhi gurunya supaya menerima alasan yang diberikan. Sebagai seorang guru, kita juga perlu mempunyai sikap yang tegas dalam mendidik pelajar supaya mereka dapat mengikut arahan yang diberikan. Guru tersebut menggunakan bahasa yang sesuai dengan pelajarnya sehingga pelajar tersebut dapat menerima arahan yang diberikan dan menggunakan bahasa yang lembut untuk menegur kesalahan pelajarnya. Jika kita perhatikan, perbualan antara mereka berdua terdapat banyak provokasi iaitu berlaku pertentangan idea namun akhirnya perlu menerima arahan yang diberikan.

Isnin, 7 Februari 2011

Bahasa cerminan diri


Situasi pada hari ini ialah situasi di dalam bas iaitu semasa saya dan sahabat ingin menuju ke kampus. Ketika sampai di persimpangan jalan, bas ingin membuat pusingan u,  tetapi terdapat sebuah lori yang menghalang laluan bas untuk membelok.  Pemandu bas terpaksa berhenti dan memberikan hon untuk memaklumkan kepada pemandu lori tersebut mengalihkan kenderaannya agar tidak menghalang pergerakan kenderaan lain. Pemandu bas itu turut merungut dengan berkata:
“Bodoh”
“Kayu punya orang.”
Tak tahu ke orang nak belok kat sini. Ada lessen ke tak ni?
Jelas menunjukkan bahawa pemandu bas berasa marah kerana sikap pemandu itu yang tidak bertimbang rasa kerana meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghalang pergerakan orang lain.

Komen:
Kata-kata yang diujarkan oleh seseorang dapat menggambarkan emosi atau perasaan seseorang. Jika bahasa yang digunakan lembut dan bersopan menunjukkan keadaan penutur yang baik dan emosinya juga berada di tahap yang baik. Jika dilihat daripada situasi di atas mungkin pemandu tersebut tidak mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana mengeluarkan kata-kata yang kasar seperti sedemikian. Pemandu bas tersebut yang berkata kayu kepada pemandu lori tersebut menggambarkan pemanduri lori itu tidak mempunyai otak untuk berfikir iaitu disamakan dengan benda yang tidak bernyawa.

Jumaat, 28 Januari 2011

Bahasa Puitis Sajak


walaupun musnah harta dan benda,
harga diri janganlah jatuh,
binaan pertama walaupun runtuh,
kerja yang baru mulailah pula.

tahan haus tahanlah lapar,
bertemu sulit hendaklah tentang,
memohon-mohon jadilah pantang,
dari mengemis biarlah terkapar.


Nikmat Hidup.. Hamka


Pada pagi ini saya berkesempatan untuk mendengar motivasi pagi yang sering disiarkan di TV3. Saya tertarik dengan kata-kata yang dibacarakan oleh ustaz. Kata-kata tersebut dipetik daripada sajak Hamka iaitu Nikmat Hidup. Bahasa yang digunakan dalam sajak ini banyak berkaitan dengan kehidupan kita sebagai seorang manusia yang lemah. Perkara yang berlaku di sekeliling dijadikan contoh supaya dapat memberi gambaran yang jelas. Bahasa yang digunakan cukup puitis dan indah dan memberikan kesan kepada pembaca atau pendengar. Sajak ini bertujuan untuk memberi nasihat dan peringatan kepada manusia dalam mengharungi hidup yang mencabar.

KOMEN:

Terdapat juga perkataan yang digunakan kurang difahami oleh pembaca atau pendengar. Contohnya terkapar yang bermaksud terbaring, tidak berketentuan atau terlantar. Ayat yang digunakan juga mengandungi maksud yang tersirat iaitu tidak menyampaikan secara terus-terang. Perkara ini dapat dilihat dalam bait-bait sajak iaitu tahan haus tahanlah lapar yang membawa maksud bersabarlah dengan segala cubaan dan dugaan yang mendatang.

Khamis, 27 Januari 2011

Satu Bahasa


Situasi yang ingin diperkatakan pada hari ini ialah penggunaan bahasa rojak dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Bahasa rojak banyak digunakan dalam pertuturan sehari-hari sama ada bersama teman-teman mahupun dengan pensyarah. Contoh perbualan adalah antara mahasiswi yang sedang berbincang bersama rakannya mengenai penempatan untuk praktikum pada semester 7.
“Saya tak pasti lagi dapat ke tak sekolah tu, sekarang just pilih je sekolah tu dulu”
Komen:
Penggunaan bahasa saya menunjukkan mahasiswa dan mahasiswi di atas mempunyai hubungan yang boleh dianggap mengenali antara satu sama lain dan saling hormat-menghormati. Memang tidak dapat dinafikan pada masa kini penggunaan bahasa rojak sangat meluas tidak kira dalam perbualan secara lisan atau melalui kemajuan dalam bidang teknologi. Kebanyakannya menggabungkan bahasa Melayu, bahasa asing seperti bahasa Inggeris serta memasukkan bahasa dialek atau daerah. Kita sepatutnya dapat menguasai satu-satu bahasa dan menggunakannya secara betul dan menyeluruh tanpa diselitkan dengan bahasa lain. Jika berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu tidak usah dicampuradukkan dengan bahasa-bahasa lain. Hal demikian kerana dapat menggambarkan tahap komunikasi yang dimiliki oleh seseorang sama ada dapat menggunakan bahasa dengan betul atau sebaliknya.


Rabu, 26 Januari 2011

Lambang Warna


“Merahnya mak ngah”
“Putih melepak”
“Hitam legam”
“Hitamnya hati”
“Gelap hati “
“Buta hati”


Komen:

Setiap kiasan di atas mempunyai maksud yang tersirat dan tidak diungkapkan secara terus kepada seseorang. Sebagai contoh yang dapat diambil ialah hitamnya hati bukannya bermaksud hati yang bewarna hitam tetapi hati itu sendiri yang melambangkan sifat dalaman seseorang atau peribadi serta sahsiah diri yang rendah. Secara ringkasnya hitamnya hati adalah lebih cenderung untuk menerangkan kepada kita bahawa peribadi negatif yang dimiliki oleh seseorang. Hitam melambangkan sikap yang jahat.   Oleh itu, sesetengah daripada kita menggunakan kiasan tersebut untuk menggambarkan sesuatu yang buruk. Namun begitu, terdapat juga kata-kata di atas untuk mengungkapkan maksud untuk menggambarkan keperibadian seseorang. Sebagai contoh apabila seseorang itu memakai baju, tudung atau kasut bewarna merah, mungkin ada di antara teman-temannya yang berkata “Amboi, merahnya mak ngah”.



Selasa, 25 Januari 2011

Tutur Bicara

Situasi yang ingin dikongsi bersama pada hari ini ialah kisah semasa saya bersama saudara berkunjung ke pasar di sebuah bandar. Semasa berjalan-jalan di pasar untuk membeli barang-barang dapur. Tiba-tiba kami didatangi oleh tiga orang kanak-kanak yang berumur lingkungan lapan hingga sepuluh tahun. Di tangan mereka terdapat beberapa naskhah surah Yassin dan potongan ayat-ayat Al-Quran. Mereka menghulurkan ayat-ayat suci A-Quran kepada kami.

Anak kecil : Sedekah kak (sambil menghulurkan potongan ayat Al-Quran kepada saya
Saya          : Aku hanya mengangguk dan memberikan not yang berjumlah RM1
Anak Kecil : Tapi ini RM3.
Saya          : Hah??
Anak kecil : Ikhlas kak (seolah-olah memaksaku memberinya RM2 lagi)
Saya          : Tak apa lah. RM 1 ni ikhlas (menghulurkan kembali ayat suci Al-Quran yang diberikan)

Walau bagaimanapun anak kecil ini masih memaksaku untuk memberinya wang lebih.
Situasi saudaraku pula ialah

Anak kecil : Kak, sedekah ikhlas (sambil menghulurkan senaskhah surah Yassin)
Saudaraku : (Tidak berkata apa-apa sambil memberikan RM1 kepada kanak-kanak itu)
Anak kecil : RM5 kak
Saudaraku : Tadi cakap ikhlas, tak apalah akak sedekah RM1. Ambil duit sahaja dan tidak perlu surah Yassin.
Anak kecil : Masih memaksa untuk mendapatkan wang sebanyak RM5


Komen:

 
Perkataan ikhlas itu sendiri membawa maksud memberikan dengan ikhlas atau merelakan tanpa paksaan. Tetapi ramai di antara daripada kita menggunakan perkataan ikhlas ini untuk memperoleh simpati daripada orang lain atau pihak tertentu. Situasi di atas dapat menggambarkan bahawa kanak-kanak tersebut menggunakan retorik pemujukan untuk mendapatkan wang secara ikhlas namun pada hakikatnya perkataan dengan cara paksaan.