Ahad, 13 Mac 2011

Berkongsi Pendapat

Saya sedang mengisi minyak di stesen Petronas. Lori kecil di depan saya sarat dengan skuter vespa. Saya meninjau-ninjau. Saya teringat zaman muda tatkala menjadi siswa. Saya bercerita pada pemandu lori itu saya pernah ada skuter Lambretta. Harga Lambretta saya cuma RM800 saja.

Lalu pemandu lori ini berkata, "Yang ini harganya RM10,000...." Dan kata pemandu lori itu lagi, "Vespa ini dihantar ke Kelantan. Mereka banyak duit, mereka bayar tunai!!!



Komen:
Cerita di atas adalah diambil daripada laman sosial facebook milik Prof. Emeritus Dr Abdullah Hasaan. Berdasarkan dialog yang diujarkan oleh kedua-dua penutur di atas, saya dapati wujud interaksi sosial antara mereka berdua walaupun hanya sekadar bertemu secara kebetulan dan mempunyai minat yang sama berdasarkan topik yang diperkatakan. Pemandu lori juga dapat digambarkan sebagai seorang yang ramah dan senang bergaul. Kata-kata penegasan turut ditunjukkan oleh pemandu lori tersebut semasa menceritakan vespa-vespa yang dibawanya. Kata-kata yang diujarkan juga menggambarkan pemnadu lori tersebut begitu kagum dengan orang Kelantan yang mampu untuk membayar harga skuter vespa yang agak mahal itu. Nada atau intonasi yang diujarkan oleh pemandu lori tersebut menunjukkan perasaan kagumnya terhadap orang Kelantan.


Mendulang Paku Serpih

Peribahasa mendulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.  Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang pernah mendengar peribahasa ini. Kisah yang ingin disampaikan adalah bersesuaian dengan peribahasa di atas.
Alkisah pada suatu malam ketika seorang wanita ingin pulang ke kampung bersama rakannya, mereka berbual kosong sambil menikmati kedinginan malam dan meneroka kesepian malam sepanjang perjalanan. Sedang penumpang lain sedang nyenyak tidur, mereka berdua berbicara tentang penampilan diri masing-masing.
Qasidah                : Wah, cantiknya jam engkau!
Juriah                    : (Tersenyum)Aku beli online ni. Kat facebook.
Qasidah                : Berapa hinggit?
Juriah                    : Murah jer. RM70.
Qasidah                : Boleh tahan.
Juriah                    : Nanti tengok la dalam fb. Banyak lagi yang cantik.
Qasidah                : Nantilah aku tengok.
Juriah                    : Tudung kau ni beli online jugak kn? RM50 sehelai kn?
Qasidah                : Ya. Tapi aku beli dua je.
Juriah                    : Dua dah seratus. Nasib baik aku beli jam ni. Berbaloi la daripada beli tudung ni.

Sebulan kemudian
Juriah                    : Cantiklah tudung tu. Aku suka.
Balqis                    : Kan aku dah kata, tudung tu cantik.
Juriah                    : Nanti kalau ada yang terbaru jangan lupa inform kat aku.
Balqis                    : Ok2
Qasidah                : Apa yang cantik-cantik ni?
Balqis                    : Tudung yang kita beli tu lah.
Qasidah                : Oh. Dah dapat ke?
Juriah                    : Cantik.
Qasidah                : Aku ingat lagi kau cakap tak berbaloi beli tudung ni. Mahal sangat. Tapi, kau juga yang beli.
Juriah                    : (Ketawa). Aku tarik balik kata-kata aku.

 
Komen:
Berdasarkan situasi di atas, pengajaran yang boleh dibuat ialah kita perlulah berhati-hati mengeluarkan kata-kata yang mungkin kita sendiri tidak mampu menduga kesan yang akan diterima oleh penutur dan pendengar. Sebagai contoh, kita dapat gambarkan situasi di atas dengan satu lagi peribahasa iaitu terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Pada awalnya Juriah merasakan tindakan Qasidah membeli tudung yang agak mahal itu adalah tidak berbaloi, tetapi akhirnya dia sendiri yang melakukannya.



Sabtu, 12 Mac 2011

Lawak Pengubat Duka

Mungkin anda semua pernah menonton satu siri Raja Lawak  terbitan Astro. Kini rancangan ini telah masuk musim kelima. Ada sesetengah daripada peserta yang menyertai rancangan realiti Raja Lawak ini bertujuan untuk menimba pengalaman dan tidak kurang juga ada yang mahu menjadi popular atau terkenal. Baru-baru ini saya sempat menonton persembahan salah seorang peserta yang mampu membuatkan penonton tidak kering gusi dengan telatah lawaknya iaitu Nazmi.


Komen:
Kata-kata yang digunakan agak menarik walaupun hanya mengulang perkataan yang sama iaitu “kau tipu-tipu aku lagi”. Pada pendapat saya, peserta ini mampu berkomunikasi dengan baik di hadapan penonton dan mampu mengawal tingkah lakunya. Bahasa badannya juga menarik, nada dan intonasi suaranya juga pelbagai iaitu tinggi dan rendah. Cara beliau menyampaikan cerita juga senang difahami oleh penonton melalui gerak geri anggota badan. Melalui persembahan yang dilakukan, peserta tersebut mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang diperkatakan walaupun ada kalanya beliau terlupa skrip yang ditulis.

Jumaat, 11 Mac 2011

Kata Orang Tua-Tua


Diari pada kali ini berdasarkan situasi yang terdapat dalam gambar seperti di bawah.










Komen:

Orang tua-tua ni kuat berpesan. Hal ini demikian kerana mereka lebih dulu makan garam dari orang muda. Semua yang dipesannya itu mempunyai sebab yang tertentu bukannya suka-suka. Kebiasaannya adalah untuk menjaga adab kita sebagai orang timur. Namun begitu, orang muda yang terlebih bijak pada masa kini semakin rajin membidas. Tidak logik katanya. Tetapi kata orang tua-tua tu kadang-kadang ada betulnya. Pantang larang ini selalunya berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Orang tua-tua tidak menegur dengan menggunakan cara yang keras tetapi menggunakan bahasa yang lembut dan mempunyai makna yang tersirat di sebaliknya. Ia terpulang kepada kita untuk menilai mana yang baik dan buruk walaupun ada yang dikatakan itu tidal relevan dengan dunia yang sudah moden kini.

Khamis, 10 Mac 2011

Kata Berlapik

Seringkali kita mendengar bebelan daripada orang yang lebih tua dan berumur daripada kita. Sebagai contoh yang paling dekat dengan kita ialah ibu bapa kita sendiri. Ibu bapa akan menjaga tatatertib mereka semasa bercakap dengan anak-anak. Mereka tidak akan bercakap sesuatu perkara yang buruk terutamanya apabila bersama anak-anak. Mungkin anda semua pernah mendengar ibu atau ayah anda berkata:
“bertuah punya anak”
“Bertuah punya budak”
Ujaran di atas melambangkan betapa orang tua-tua begitu menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka. Hal ini demikian kerana, setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang merupakan doa dan bayangkan jika perkataan yang diujarkan itu agak kasar, pastinya sesuatu yang kita sendiri tidak jangka akan berlaku.
Komen:
Orang pada zaman dahulu begitu prihatin dan berhari-hati dalam menuturkan sesuatu agar tidak menyesal di kemudian hari. Jika anaknya melakukan kesalahan sekalipun, mereka tidak akan melenting dan tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat kerana bimbang akan mengguris hati anak-anak yang masih mentah. Walaupun emosi mereka dalam keadaan marah, tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa kepada sesuatu yang di luar batasan dan kawalan mereka.

Budi Bahasa Budaya Kita


Komen:
Jika kita perhatikan kata-kata yang diujarkan di atas, bahasa yang digunakan tidak mempunyai kesantunan berbahasa. Namun begitu, perkara sebegini sudah menjadi suatu perkara biasa kepada sesetengah orang terutamanya remaja.  Bagi mereka yang tidak biasa mendengar ujaran seperti di atas, mereka akan berpendapat bahawa seseorang yang berkomunikasi sebegitu tidak mempunyai etika dalam bertutur. Kesantunan berbahasa bukan suatu perkara yang remeh dan setiap orang perlu peka terhadap keadaan tersebut.

Rabu, 9 Mac 2011

Berurusan

Baca petikan cerita di bawah:
Sebelum meneruskan pembacaan anda, Mama nak mohon maaf siap2 kepada sesiapa jua yang akan terasa dengan entri Mama kali ini. Ini hanyalah secebis pengalaman Mama berurusan dengan kaunter tak kiralah kaunter bank ke, pejabat pos ke atau apa2 jua kaunter.


Ceritanya begini, Jumaat lepas Mama ke Bank Muamalat untuk tunaikan cek PIBG sekolah Mama. Disebabkan Mama ni diberi tanggungjawab sebagai Bendahari, maka Mamalah yang kena tunaikan walaupun sebenarnya Mama ni memang agak malas nak berurusan di kaunter sebab biasanya layanan pasti kurang memuaskan. Dah sebab terpaksa, pergi la jugak...


Cek tersebut memang cek Bank Muamalat. Tapi akaun PIBG sekolah adalah di Bank Islam. Taktau nak tunaikan di mana, maka Mama pergi la ke Bank Muamalat dulu nak bertanya. Kalau kena tunaikan di Bank Islam, nanti Mama ke sana la pulak. Cadangnya begitulah...


Masuk2 dalam tu Mama tanya pada Pak Guard memandangkan kaunter pertanyaan kat luar tu takde orang. Lagipun kebiasaannya kat bank ni kalau taktau memang la bertanya pada Pak Guard. 


Mama : Pakcik, macamana nak tunaikan cek ni? (sambil beria2 tunjukkan cek tu kat dia)

Pak Guard : Ambik nombor..ambik nombor.. (sambil tangan main henset dan tak tengok pun kat Mama)


Masa tu Mama sabar lagi la. Sebab Mama ni kalau ikutkan memang jenis tak pandai nak menjawab atau nak bersoal balas dalam situasi2 camni.


Pastu Mama kol Ayah tanya nak kena isi borang ke apa ni. Ayah suruh tanya Pak Guard. Mama bagitau apa yang berlaku tadi. Mama tanya Ayah boleh ke nak tanya kat kaunter je sebab orang tak ramai. Ayah cakap ok.


Mama : Assalamualaikum..

Orang Bank : Wa'alaikumussalam...
Mama : Nak tanya, camne nak tunaikan cek ni? Nak kena isi borang ke apa? (kali ni soalan lebih jelas sambil menunjukkan cek jugak)
Orang Bank : Ni siapa sain ni? Siapa sain ni? Ni..ni..Tak boleh tunaikan ni sebab dia tak palang... (sambil menunjukkan sain pada cek tu)
Mama : Yalid Enterprise ni la yang sain. (sambil menunjukkan nama syarikat yang bagi cek tu)
Orang Bank : Tak boleh tunaikan ni. Kena masuk akaun.
Mama : Takpela, masuk akaun pun boleh.
Orang Bank : Ada akaun ke?
Mama : Ada la. Tapi kat Bank Islam. Kena gi Bank Islam la ye?
Orang Bank : Yela.. tak boleh tunaikan ni.. (sambil gelak2..geng sebelah dia pun gelak2 jugak)
Mama : Yang encik ketawakan saya ni kenapa? Jangan la ketawakan saya. Saya mana tau. (dah mula hot)
Orang Bank : Tak la..dah pukul 4 dah ni.. Nak balik dah.. )sambil terus gelak2) 
Mama : (dalam hati --- pale hotak ko..ko keje sampai kul 4 ke?)
Mama : Bistu nape encik ketawakan saya?
Geng Orang Bank : Ok..ok..sorry..sorry.. Cek ni tak boleh tunaikan sebab nama PIBG. Kena masuk akaun. Kalau nama individu baru boleh tunaikan.
Mama : (dalam hati --- baru ko nak jelaskan setelah ko gelakkan aku kaw kaw punya?)
Mama : (terus berlalu sambil geleng2 kepala dan tak ucap terima kasih dan berkata) Boleh encik ketawakan saya...


Diorang masih ada sisa2 ketawa di bibir. Apa yang lawak sangat? Walaupun ada banyak kenangan pahit berurusan di kaunter, tak pernah la Mama kena gelak camni. Apa sebabnya diorang gelakkan Mama? Adakah sebab Mama taktau bahawa cek tersebut tak boleh ditunaikan? Atau sebab Mama ni kelihatan bodoh sebab taktau bahawa cek yang takde nama kita tak boleh ditunaikan oleh kita melainkan masuk akaun penama aje? Ke sebab apa?


Mama memang bengang gila dan terus kol Ayah menceritakan tragedi tersebut. Mentang2 la Mama ni perempuan kan, mungkin kelihatan macam bodoh2 aje sebab tak bergaya sakan kan, korang gelakkan aku ek. 


Kalau Mama nak panjang2kan cerita, boleh aje Mama panggil pengurus diorang. Biarlah Mama tak dapat apa2 pun atau diorang nak setel sesama diorang pun asalkan Mama puas hati sebab orang atasan diorang tau sikap diorang di kaunter camne. Ke memang diorang dah dikenali suka bersikap begitu? Sebenarnya Mama tak pernah berurusan di Bank Muamalat. Inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir.


Mama juga tak sangka kali ini Mama berani bersuara. Mungkin kalau dulu2 masa zaman anak dara atau zaman belajar di U dulu Mama akan terus berlalu tanpa banyak soal lagi. Tapi kali ni Mama berani menyuarakan ketidakpuasan hati. Sebab Mama rasa mereka perlu menjawab pertanyaan Mama kerana Mama memang taktau sangat bab2 cek ni. Ianya bukan bidang kerja Mama. Itu bidang tugas mereka. Sepatutnya mereka memberikan kerjasama, bukan mentertawakan Mama sesuka hati dan memalukan Mama di depan semua orang. Dah alang Mama malu, Mama malukan mereka semula dengan sengaja cakap kuat2 biar semua di situ tau mereka sedang mentertawakan pelanggan mereka sendiri.


Anda pernah ada pengalaman pahit macam Mama? Jom kongsikan supaya kerani kaunter ni lebih bersopan dengan pelanggan...



Komen:
Kisah di atas diambil daripada blog yang pernah saya baca beberapa hari yang lepas. Saya bukannya hendak memberikan komen terhadap kesalahan bahasa penulis tetapi bahasa yang tidak beradab digunakan oleh kakitangan bank terhadap pelanggannya. Mereka berurusan dengan pelanggan seolah-olah menganggap pelanggan sebagai robot dan tidak mempunyai perasaan. Kata-kata yang diujarkan tidak melambangkan status mereka sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah pelanggan. Pegawai di bank tersebut sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan penuh dengan kesantunan semasa berurusan dengan sesiaopa sahaja yang memerlukan pertolongan atau bantuan serta tunjuk ajar daripada mereka. Interaksi dengan masyarakat perlulah sentiasa berhemah dan menghormati pelanggan. Setiap pertanyaan yang diajukan mestilah dibalas dengan cara yang baik dan bersopan bukannya menggunakan bahasa yang kasar dan endah tak endah sahaja. Jika kita tidak pandai berkomunikasi dengan baik maka orang yang dilawan bercakap juga akan hilang rasa hormat kepada kita. Nilai berbudi bahasa itu penting untuk mewujudkan masyarakat yang saling hormat- menghormati antara satu sama lain.