Khamis, 24 Februari 2011

Berurusan

Baca petikan cerita di bawah:
Sebelum meneruskan pembacaan anda, Mama nak mohon maaf siap2 kepada sesiapa jua yang akan terasa dengan entri Mama kali ini. Ini hanyalah secebis pengalaman Mama berurusan dengan kaunter tak kiralah kaunter bank ke, pejabat pos ke atau apa2 jua kaunter.


Ceritanya begini, Jumaat lepas Mama ke Bank Muamalat untuk tunaikan cek PIBG sekolah Mama. Disebabkan Mama ni diberi tanggungjawab sebagai Bendahari, maka Mamalah yang kena tunaikan walaupun sebenarnya Mama ni memang agak malas nak berurusan di kaunter sebab biasanya layanan pasti kurang memuaskan. Dah sebab terpaksa, pergi la jugak...


Cek tersebut memang cek Bank Muamalat. Tapi akaun PIBG sekolah adalah di Bank Islam. Taktau nak tunaikan di mana, maka Mama pergi la ke Bank Muamalat dulu nak bertanya. Kalau kena tunaikan di Bank Islam, nanti Mama ke sana la pulak. Cadangnya begitulah...


Masuk2 dalam tu Mama tanya pada Pak Guard memandangkan kaunter pertanyaan kat luar tu takde orang. Lagipun kebiasaannya kat bank ni kalau taktau memang la bertanya pada Pak Guard. 


Mama : Pakcik, macamana nak tunaikan cek ni? (sambil beria2 tunjukkan cek tu kat dia)

Pak Guard : Ambik nombor..ambik nombor.. (sambil tangan main henset dan tak tengok pun kat Mama)


Masa tu Mama sabar lagi la. Sebab Mama ni kalau ikutkan memang jenis tak pandai nak menjawab atau nak bersoal balas dalam situasi2 camni.


Pastu Mama kol Ayah tanya nak kena isi borang ke apa ni. Ayah suruh tanya Pak Guard. Mama bagitau apa yang berlaku tadi. Mama tanya Ayah boleh ke nak tanya kat kaunter je sebab orang tak ramai. Ayah cakap ok.


Mama : Assalamualaikum..

Orang Bank : Wa'alaikumussalam...
Mama : Nak tanya, camne nak tunaikan cek ni? Nak kena isi borang ke apa? (kali ni soalan lebih jelas sambil menunjukkan cek jugak)
Orang Bank : Ni siapa sain ni? Siapa sain ni? Ni..ni..Tak boleh tunaikan ni sebab dia tak palang... (sambil menunjukkan sain pada cek tu)
Mama : Yalid Enterprise ni la yang sain. (sambil menunjukkan nama syarikat yang bagi cek tu)
Orang Bank : Tak boleh tunaikan ni. Kena masuk akaun.
Mama : Takpela, masuk akaun pun boleh.
Orang Bank : Ada akaun ke?
Mama : Ada la. Tapi kat Bank Islam. Kena gi Bank Islam la ye?
Orang Bank : Yela.. tak boleh tunaikan ni.. (sambil gelak2..geng sebelah dia pun gelak2 jugak)
Mama : Yang encik ketawakan saya ni kenapa? Jangan la ketawakan saya. Saya mana tau. (dah mula hot)
Orang Bank : Tak la..dah pukul 4 dah ni.. Nak balik dah.. )sambil terus gelak2) 
Mama : (dalam hati --- pale hotak ko..ko keje sampai kul 4 ke?)
Mama : Bistu nape encik ketawakan saya?
Geng Orang Bank : Ok..ok..sorry..sorry.. Cek ni tak boleh tunaikan sebab nama PIBG. Kena masuk akaun. Kalau nama individu baru boleh tunaikan.
Mama : (dalam hati --- baru ko nak jelaskan setelah ko gelakkan aku kaw kaw punya?)
Mama : (terus berlalu sambil geleng2 kepala dan tak ucap terima kasih dan berkata) Boleh encik ketawakan saya...

Diorang masih ada sisa2 ketawa di bibir. Apa yang lawak sangat? Walaupun ada banyak kenangan pahit berurusan di kaunter, tak pernah la Mama kena gelak camni. Apa sebabnya diorang gelakkan Mama? Adakah sebab Mama taktau bahawa cek tersebut tak boleh ditunaikan? Atau sebab Mama ni kelihatan bodoh sebab taktau bahawa cek yang takde nama kita tak boleh ditunaikan oleh kita melainkan masuk akaun penama aje? Ke sebab apa?


Mama memang bengang gila dan terus kol Ayah menceritakan tragedi tersebut. Mentang2 la Mama ni perempuan kan, mungkin kelihatan macam bodoh2 aje sebab tak bergaya sakan kan, korang gelakkan aku ek. 


Kalau Mama nak panjang2kan cerita, boleh aje Mama panggil pengurus diorang. Biarlah Mama tak dapat apa2 pun atau diorang nak setel sesama diorang pun asalkan Mama puas hati sebab orang atasan diorang tau sikap diorang di kaunter camne. Ke memang diorang dah dikenali suka bersikap begitu? Sebenarnya Mama tak pernah berurusan di Bank Muamalat. Inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir.


Mama juga tak sangka kali ini Mama berani bersuara. Mungkin kalau dulu2 masa zaman anak dara atau zaman belajar di U dulu Mama akan terus berlalu tanpa banyak soal lagi. Tapi kali ni Mama berani menyuarakan ketidakpuasan hati. Sebab Mama rasa mereka perlu menjawab pertanyaan Mama kerana Mama memang taktau sangat bab2 cek ni. Ianya bukan bidang kerja Mama. Itu bidang tugas mereka. Sepatutnya mereka memberikan kerjasama, bukan mentertawakan Mama sesuka hati dan memalukan Mama di depan semua orang. Dah alang Mama malu, Mama malukan mereka semula dengan sengaja cakap kuat2 biar semua di situ tau mereka sedang mentertawakan pelanggan mereka sendiri.


Anda pernah ada pengalaman pahit macam Mama? Jom kongsikan supaya kerani kaunter ni lebih bersopan dengan pelanggan...

 Komen:
Kisah di atas diambil daripada blog yang pernah saya baca beberapa hari yang lepas. Saya bukannya hendak memberikan komen terhadap kesalahan bahasa penulis tetapi bahasa yang tidak beradab digunakan oleh kakitangan bank terhadap pelanggannya. Mereka berurusan dengan pelanggan seolah-olah menganggap pelanggan sebagai robot dan tidak mempunyai perasaan. Kata-kata yang diujarkan tidak melambangkan status mereka sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah pelanggan. Pegawai di bank tersebut sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan penuh dengan kesantunan semasa berurusan dengan sesiaopa sahaja yang memerlukan pertolongan atau bantuan serta tunjuk ajar daripada mereka. Interaksi dengan masyarakat perlulah sentiasa berhemah dan menghormati pelanggan. Setiap pertanyaan yang diajukan mestilah dibalas dengan cara yang baik dan bersopan bukannya menggunakan bahasa yang kasar dan endah tak endah sahaja. Jika kita tidak pandai berkomunikasi dengan baik maka orang yang dilawan bercakap juga akan hilang rasa hormat kepada kita. Nilai berbudi bahasa itu penting untuk mewujudkan masyarakat yang saling hormat- menghormati antara satu sama lain.

Rabu, 23 Februari 2011

Pertemuan

Pada petang itu, kami seramai lima orang telah berjumpa denga pensyarah untuk menanyakan beberapa soalan berkaitan tugasan individu dan kumpulan.
Pensyarah           : Sekarang minggu ke berapa?
Pelajar 1               : Erm…Minggu ketujuh
Pensyarah           : Saya suruh hantar tugasan ni bila?
Pelajar 2               : Minggu kelapan
Pensyarah           : Tahu pun.. Sekarang baru nak datang tanya?
(sambil tersenyum)
Pelajar 2               : Ni nasib baik kami datang. Sekurang-kurangnya kami datang. Kumpulan lain ada yang dah datang  ke Dr?
Pensyarah           : Ada la beberapa kumpulan yang datang. Saya tunggu tengok saja siapa yang datang.
Pelajar 3               : Kiranya kami ni pelajar yang bagus la jugak datang jumpa Dr sebab nak tanya pasal tugasan.
(Dua orang lagi pelajar hanya tersenyum)
Selepas menerangkan rangka jawapan atau isi yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kami meminta diri untuk pulang.
Pensyarah           : Datang ramai-ramai ni, nak tanya satu soalan sahaja?
Pelajar  4              : Setakat ni, itu sahajala Dr. Kami ni kan satu kumpulan mestilah datang sama-sama.
Pensyarah           : Bagus. Selamat belajar semua.
Pelajar-pelajar  : Terima kasih Dr.

Komen:
Hubungan yang mesra perlu diwujudkan antara pensyarah dan pelajarnya. Begitu juga dalam situasi lain seperti hubungan antara guru dengan pelajarnya. Segala yang dituturkan oleh pensyarah atau guru adalah teguran yang membina dan nasihat untuk kita memperbaiki kesalahan pada masa akan datang. Tunjuk ajar yang diberikan kepada kita perlulah dihargai sekurang-kurangnya dengan ucapan terima kasih. Sikap yang prihatin terhadap kebajikan pelajar dapat mewujudkan suasana yang muhibbah. Seperti contoh di atas nasihat yang diberikan adalah dengan menggunakan kata-kata yang baik dan tidak terlalu tegas dan diselitkan dengan gurauan.

Selasa, 22 Februari 2011

Lain negeri lain seleranya

Kisah berkaitan kesantunan bahasa yang ingin dipaparkan pada kali ini ialah suatu situasi apabila saya bersama dua orang rakan serumah sedang menikmati minum petang. Lin yang berasal daripada Kedah mempelawa kami untuk merasa bubur kacang yang dimasaknya pada petang itu. Situasi ini dapat digambarkan dalam dialog di bawah:
Lin          : Ira, ambik la bubuq tu..rasa
Ira           : ok..
                Sedap sangat ke Lin masak ni?
Lin          : Tak tahu la tu..sedap ke tidak..buat ala kadar je
Mila       : Ish, banyak tanya la hang ni ira..orang bagi tu makan je la
Ira           : Ala..aku gurau je la..
Mila       : Habis yang hang tanya sedap ke tidak tu kenapa? Takkan lah Lin nak cakap sedap pulak
Ira           : (mengambil mangkuk dan menyeduk dua senduk bubur dari dalam periuk)
                 Sedapnya bau mesti sedap ni.. dah lama tak makan.
Mila       : Ira mintak roti hang nak makan dengan bubuq.
Ira           : Ambik la..(tapi dengan  muka yang hairan apabila melihat Mila mengambil biskut bukannya roti)
                 Kau cakap tadi nak roti tapi kenapa ambil biskut pulak?
Mila       : Roti la ni. La aku lupa la pulak. Orang Kedah memang panggil roti tak kira la biskut ke roti. Semua panggilnya roti.               
Ira           : Oh. Mana la aku tahu. Tak cukup manis la Lin.
Lin          : Tadi tak letak gula pasir.
Mila       : Wei, dah cukup manis la ni. Ok je
Lin          : Orang Kelantan memang suka manis-manis. Orang Johor pulak suka makanan yang pedas.
Ira           : Masak bubur ni kena masukkan nise kan Lin?
Lin          : NIse?Apa tu?
Ira           : Tak tahu ke? Nise tu gula Melaka la. Orang Kelantan panggil nise.
Lin          : Oh. Mana la kita orang tahu. Hang tahu ke Mila?
Mila       : Entah. Tak pernah aku dengaq pun. Mu ni ira. Macam-macam la
(Kami sama-sama ketawa sambil menikmati minum petang yang enak dan lazat)




Komen:
Berdasarkan situasi di atas, kita mendapat beberapa pengajaran dan pengetahuan yang berguna apabila bercampur atau berkongsi sesuatu dengan rakan atau sesiapa sahaja yang berasal daripada negeri yang berlainan di Malaysia ini. Perkongsian pengalaman dan cerita di antara satu sama lain juga membolehkan kita mengetahui istilah-istilah atau perkataan yang digunakan di negeri yang berlainan. Kadang-kadang maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang individu itu sama tetapi disebabkan oleh perkataan yang digunakan berbeza akan timulnya sedikit salah faham. Tali persaudaraan akan lebih erat lagi dengan berkongsi resepi makanan bagi negeri masing-masing. Hal ini demikian kerana mungkin setiap negeri itu citarasa atau lidahnya berbeza.

Isnin, 21 Februari 2011

Pengajaran dan Pembelajaran


"Pada minggu lepas aku berjalan dan ajak-ajak ayam dalam reban untuk melihat keadaan lipas kudung kaki dirumahnya. Dalam perjalanan itu, aku melihat kesan cakar ayam pada jalan yang tidak berturap itu. Di hujung sana ada semak tempat tinggal burung-burung. Aku sempat melihat mulut murai yang sungguh jelita. Aku meneruskan perjalananku. Aku melihat dua-tiga ekor ayam berjalan agak pelik, mungkin rabun ayam itu menyebabkan mereka jadi sedemikian. Di sebelah jalan itu terdapat sebuah parit yang jernih airnya, aku dapat melihat dengan jelas nyawa-nyawa ikan yang bernafas begitu seni sekali. Aku juga melihat dengan jelas telinga lintah di dalam air tesebut. Aku meneruskan perjalananku, bersua dengan seekor badak, lantas aku menegurnya, rupanya pekak badak yang aku tegur itu. Aku juga sedar beberapa ekor kucing yang berada di situ tersenyum agak malu-malu kucing."


Komen:
 
Karangan yang terdapat di atas adalah ditulis oleh seorang guru Bahasa Melayu. Cerita yang disampaikan ini pada pendapat saya agak menarik dan dijadikan sebagai contoh bahan pengajaran yang dapat membantu pelajar. Walaupun cerita yang disampaikan adalah tidak dapat difahami namun bahasa yang digunakan telah berjaya menarik minat pelajar. Terdapat pelbagai peribahasa yang diselitkan dalam cerita ini. Antara peribahasa yang terdapat dalam karangan ini ialah
i.                    Ajak-ajak ayam
ii.                  Lipas kudung
iii.                Cakar ayam
iv.                Mulut murai
v.                  Rabun ayam
vi.                Nyawa-nyawa ikan
vii.              Telinga lintah





Ahad, 20 Februari 2011

Salam Pembuka BIcara

Pagi semalam saya mendengar siaran radio Ikim. Ustaz Zawawi bercerita tentang sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu bab memberi salam sesama kita umat Islam. Baginda memberi salam dengan lafaz “Assalamualaikum dan menjawab salam daripada para sahabat dengan salam yang penuh “waalaikumussalam warahmatullahhi wabarakatuh”.
Beri salam           : Assalamualaikum
Jawab salam       : Waalaikumussalam warahmatullahhi wabarakatuh
Apabila kita berkirim salam pada orang lain, hendaklah kita berkata
                Kirim salam assalamualaikum kepada Azizah.
Bukannya:
                Kirim salam kat Azizah.
Atau bukannya:
                Kirim salam maut kat Azizah.

Komen:
Memberi salam bukannya suatu perkara yang main-main. Sebelum kita berbicara dengan seseorang, lebih baik sekiranya kita memberi salam terlebih dahulu kerana pembuka bicara yang kita gunakan boleh menggambarkan peribadi kita sebagai seorang yang berbudi bahasa dan mempunyai etika apabila berbicara dengan individu di sekeliling kita. Salam mestilah disampaikan dengan cara yang betul bukannya mempermainkan kalimah ini. Walaupun niat kita hanya ingin bergurau dengan menyatakan “kirim salam maut” tetapi ia tetap berdosa dan boleh merosakkan bahasa atau lughah yang digunakan terutama umat Islam. Oleh itu, kita perlu peka dan berhati-hati terhadap setiap perkataan yang dipertuturkan.


Sabtu, 19 Februari 2011

Singkatan Cemar Bahasa?

Masalah bahasa ringkas dalam dunia digital seperti “ko nk g mana?” atau ayat sebenarnya “ke mana kau mahu pergi?” bukanlah isu baru namun ia belum mendapat perhatian ramai. Kalau dulu ringkasan melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) mungkin disebabkan had teks sebanyak 150 perkataan yang ditawarkan dalam telefon bimbit menjadi penghalang, namun apakah pula alasannya jika bersembang di ruang siber kerana jumlah teks tidak pula dihadkan?

Tentunya, bahasa ringkas membawa implikasi besar dalam kehidupan manusia kerana ia membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa diwakili.
Komen:
Pakar bahasa dan motivasi, Dr. Rubiah K Hamzah, berkata bahasa singkatan menjadi amalan harian memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa. “Amalan seharian yang diguna pakai ini menjadi ikutan remaja diperturunkan daripada ibu bapa sehingga mereka mengadaptasikan sebagai bahasa ringkas dalam perbualan siber," katanya.
Menurut beliau, remaja akan sentiasa peka menggunakan setiap perkara yang didengar, ditonton dan dilihat setiap hari termasuk penggunaan bahasa ketika mereka menggunakan teknologi seperti ruang sembang siber, SMS dan blog. “Ledakan teknologi menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus perkembangannya memandangkan bahasa merupakan bentuk komunikasi yang digunakan seharian. “Secara tidak langsung ia mempengaruhi komunikasi secara online apabila pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu sama lain," katanya.
Hal ini demikian kerana, bahasa ringkas dan rojak digunakan lebih meluas berbanding bahasa sebenar kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran kini sehinggakan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi melalui bahasa terutama bahasa Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa lebih tersusun.

Jumaat, 18 Februari 2011

Walimatul Urus

Falsafah Perkahwinan Dalam Islam
Firman Allah S.W.T.
"Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui."

(Yaasin: 36)
Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan itu merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan.
Walimatulurus (Arab: وليمة‎) atau kenduri kahwin (seperti majlis santapan makanan) sunat diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat).
Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka.





Komen:

Setiap majlis perkahwinan yang akan diadakan diiringi dengan kad jemputan atau walimatul urus untuk menjemput tetamu bagi memeriahkan majlis. Jemputan biasanya terdiri daripada saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran dan kenalan lain. Kad jemputan biasanya mempunyai maklumat yang terperinci berkaitan majlis yang akan diadakan. Biasanya kad jemputan tersebut ditulis dengan menggunakan kata-kata yang menarik dan puitis seperti pantun atau hadis-hadis untuk mendoakan mempelai dan mengalu-alukan kehadiran para tetamu pada sesuatu majlis perkahwinan. Kad walimatul urus ini juga menggunakan kata panggilan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat mengikut pangkat yang diperoleh contoh dari orang-orang kenamaan hinggalah orang biasa. orang Melayu begitu terkenal dengan budi bahasa dan santun dalam menyampaikan hasrat hati terutama apabila mengundang tetamu bertandang ke rumah. Selain disampaikan secara lisan, jemputan boleh disampaikan melalui penulisan seperti mengutus kad jemputan. Cara ini telah dilakukan sejak dahulu lagi dan terus kekal hingga kini.