Selasa, 22 Februari 2011

Lain negeri lain seleranya

Kisah berkaitan kesantunan bahasa yang ingin dipaparkan pada kali ini ialah suatu situasi apabila saya bersama dua orang rakan serumah sedang menikmati minum petang. Lin yang berasal daripada Kedah mempelawa kami untuk merasa bubur kacang yang dimasaknya pada petang itu. Situasi ini dapat digambarkan dalam dialog di bawah:
Lin          : Ira, ambik la bubuq tu..rasa
Ira           : ok..
                Sedap sangat ke Lin masak ni?
Lin          : Tak tahu la tu..sedap ke tidak..buat ala kadar je
Mila       : Ish, banyak tanya la hang ni ira..orang bagi tu makan je la
Ira           : Ala..aku gurau je la..
Mila       : Habis yang hang tanya sedap ke tidak tu kenapa? Takkan lah Lin nak cakap sedap pulak
Ira           : (mengambil mangkuk dan menyeduk dua senduk bubur dari dalam periuk)
                 Sedapnya bau mesti sedap ni.. dah lama tak makan.
Mila       : Ira mintak roti hang nak makan dengan bubuq.
Ira           : Ambik la..(tapi dengan  muka yang hairan apabila melihat Mila mengambil biskut bukannya roti)
                 Kau cakap tadi nak roti tapi kenapa ambil biskut pulak?
Mila       : Roti la ni. La aku lupa la pulak. Orang Kedah memang panggil roti tak kira la biskut ke roti. Semua panggilnya roti.               
Ira           : Oh. Mana la aku tahu. Tak cukup manis la Lin.
Lin          : Tadi tak letak gula pasir.
Mila       : Wei, dah cukup manis la ni. Ok je
Lin          : Orang Kelantan memang suka manis-manis. Orang Johor pulak suka makanan yang pedas.
Ira           : Masak bubur ni kena masukkan nise kan Lin?
Lin          : NIse?Apa tu?
Ira           : Tak tahu ke? Nise tu gula Melaka la. Orang Kelantan panggil nise.
Lin          : Oh. Mana la kita orang tahu. Hang tahu ke Mila?
Mila       : Entah. Tak pernah aku dengaq pun. Mu ni ira. Macam-macam la
(Kami sama-sama ketawa sambil menikmati minum petang yang enak dan lazat)




Komen:
Berdasarkan situasi di atas, kita mendapat beberapa pengajaran dan pengetahuan yang berguna apabila bercampur atau berkongsi sesuatu dengan rakan atau sesiapa sahaja yang berasal daripada negeri yang berlainan di Malaysia ini. Perkongsian pengalaman dan cerita di antara satu sama lain juga membolehkan kita mengetahui istilah-istilah atau perkataan yang digunakan di negeri yang berlainan. Kadang-kadang maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang individu itu sama tetapi disebabkan oleh perkataan yang digunakan berbeza akan timulnya sedikit salah faham. Tali persaudaraan akan lebih erat lagi dengan berkongsi resepi makanan bagi negeri masing-masing. Hal ini demikian kerana mungkin setiap negeri itu citarasa atau lidahnya berbeza.

Isnin, 21 Februari 2011

Pengajaran dan Pembelajaran


"Pada minggu lepas aku berjalan dan ajak-ajak ayam dalam reban untuk melihat keadaan lipas kudung kaki dirumahnya. Dalam perjalanan itu, aku melihat kesan cakar ayam pada jalan yang tidak berturap itu. Di hujung sana ada semak tempat tinggal burung-burung. Aku sempat melihat mulut murai yang sungguh jelita. Aku meneruskan perjalananku. Aku melihat dua-tiga ekor ayam berjalan agak pelik, mungkin rabun ayam itu menyebabkan mereka jadi sedemikian. Di sebelah jalan itu terdapat sebuah parit yang jernih airnya, aku dapat melihat dengan jelas nyawa-nyawa ikan yang bernafas begitu seni sekali. Aku juga melihat dengan jelas telinga lintah di dalam air tesebut. Aku meneruskan perjalananku, bersua dengan seekor badak, lantas aku menegurnya, rupanya pekak badak yang aku tegur itu. Aku juga sedar beberapa ekor kucing yang berada di situ tersenyum agak malu-malu kucing."


Komen:
 
Karangan yang terdapat di atas adalah ditulis oleh seorang guru Bahasa Melayu. Cerita yang disampaikan ini pada pendapat saya agak menarik dan dijadikan sebagai contoh bahan pengajaran yang dapat membantu pelajar. Walaupun cerita yang disampaikan adalah tidak dapat difahami namun bahasa yang digunakan telah berjaya menarik minat pelajar. Terdapat pelbagai peribahasa yang diselitkan dalam cerita ini. Antara peribahasa yang terdapat dalam karangan ini ialah
i.                    Ajak-ajak ayam
ii.                  Lipas kudung
iii.                Cakar ayam
iv.                Mulut murai
v.                  Rabun ayam
vi.                Nyawa-nyawa ikan
vii.              Telinga lintah





Ahad, 20 Februari 2011

Salam Pembuka BIcara

Pagi semalam saya mendengar siaran radio Ikim. Ustaz Zawawi bercerita tentang sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu bab memberi salam sesama kita umat Islam. Baginda memberi salam dengan lafaz “Assalamualaikum dan menjawab salam daripada para sahabat dengan salam yang penuh “waalaikumussalam warahmatullahhi wabarakatuh”.
Beri salam           : Assalamualaikum
Jawab salam       : Waalaikumussalam warahmatullahhi wabarakatuh
Apabila kita berkirim salam pada orang lain, hendaklah kita berkata
                Kirim salam assalamualaikum kepada Azizah.
Bukannya:
                Kirim salam kat Azizah.
Atau bukannya:
                Kirim salam maut kat Azizah.

Komen:
Memberi salam bukannya suatu perkara yang main-main. Sebelum kita berbicara dengan seseorang, lebih baik sekiranya kita memberi salam terlebih dahulu kerana pembuka bicara yang kita gunakan boleh menggambarkan peribadi kita sebagai seorang yang berbudi bahasa dan mempunyai etika apabila berbicara dengan individu di sekeliling kita. Salam mestilah disampaikan dengan cara yang betul bukannya mempermainkan kalimah ini. Walaupun niat kita hanya ingin bergurau dengan menyatakan “kirim salam maut” tetapi ia tetap berdosa dan boleh merosakkan bahasa atau lughah yang digunakan terutama umat Islam. Oleh itu, kita perlu peka dan berhati-hati terhadap setiap perkataan yang dipertuturkan.


Sabtu, 19 Februari 2011

Singkatan Cemar Bahasa?

Masalah bahasa ringkas dalam dunia digital seperti “ko nk g mana?” atau ayat sebenarnya “ke mana kau mahu pergi?” bukanlah isu baru namun ia belum mendapat perhatian ramai. Kalau dulu ringkasan melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) mungkin disebabkan had teks sebanyak 150 perkataan yang ditawarkan dalam telefon bimbit menjadi penghalang, namun apakah pula alasannya jika bersembang di ruang siber kerana jumlah teks tidak pula dihadkan?

Tentunya, bahasa ringkas membawa implikasi besar dalam kehidupan manusia kerana ia membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa diwakili.
Komen:
Pakar bahasa dan motivasi, Dr. Rubiah K Hamzah, berkata bahasa singkatan menjadi amalan harian memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa. “Amalan seharian yang diguna pakai ini menjadi ikutan remaja diperturunkan daripada ibu bapa sehingga mereka mengadaptasikan sebagai bahasa ringkas dalam perbualan siber," katanya.
Menurut beliau, remaja akan sentiasa peka menggunakan setiap perkara yang didengar, ditonton dan dilihat setiap hari termasuk penggunaan bahasa ketika mereka menggunakan teknologi seperti ruang sembang siber, SMS dan blog. “Ledakan teknologi menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus perkembangannya memandangkan bahasa merupakan bentuk komunikasi yang digunakan seharian. “Secara tidak langsung ia mempengaruhi komunikasi secara online apabila pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu sama lain," katanya.
Hal ini demikian kerana, bahasa ringkas dan rojak digunakan lebih meluas berbanding bahasa sebenar kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran kini sehinggakan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi melalui bahasa terutama bahasa Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa lebih tersusun.

Jumaat, 18 Februari 2011

Walimatul Urus

Falsafah Perkahwinan Dalam Islam
Firman Allah S.W.T.
"Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui."

(Yaasin: 36)
Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan itu merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan.
Walimatulurus (Arab: وليمة‎) atau kenduri kahwin (seperti majlis santapan makanan) sunat diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat).
Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka.





Komen:

Setiap majlis perkahwinan yang akan diadakan diiringi dengan kad jemputan atau walimatul urus untuk menjemput tetamu bagi memeriahkan majlis. Jemputan biasanya terdiri daripada saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran dan kenalan lain. Kad jemputan biasanya mempunyai maklumat yang terperinci berkaitan majlis yang akan diadakan. Biasanya kad jemputan tersebut ditulis dengan menggunakan kata-kata yang menarik dan puitis seperti pantun atau hadis-hadis untuk mendoakan mempelai dan mengalu-alukan kehadiran para tetamu pada sesuatu majlis perkahwinan. Kad walimatul urus ini juga menggunakan kata panggilan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat mengikut pangkat yang diperoleh contoh dari orang-orang kenamaan hinggalah orang biasa. orang Melayu begitu terkenal dengan budi bahasa dan santun dalam menyampaikan hasrat hati terutama apabila mengundang tetamu bertandang ke rumah. Selain disampaikan secara lisan, jemputan boleh disampaikan melalui penulisan seperti mengutus kad jemputan. Cara ini telah dilakukan sejak dahulu lagi dan terus kekal hingga kini. 



Rabu, 16 Februari 2011

Sepatah Kata Bermakna

Tajuk diari pada hari ini mengisahkan dialog yang bermakna walaupun hanya diutarakan dengan menggunakan sepatah perkataan sahaja. Situasi ini dapat dilihat semasa saya menaiki lif di kolej. Setiap orang yang masuk ke dalam lif tersebut mempunyai destinasi yang berbeza maksudnya ialah aras yang ingin ditujui berbeza. Namun begitu perkara ini sudah menjadi perkara biasa apabila mereka yang mula-mula masuk ke dalam lif akan menekan butang lif. Seterusnya dialog seperti di bawah akan sentiasa kedengaran.
       Si  A: Sembilan
       Si B: Lima
       Si C : Tujuh
Dialog di atas menunjukkan bahawa perkataan yang dituturkan sudah dapat difahami walaupun tidak menggunakan ayat yang penuh iaitu Si A meminta untuk menekan butang Sembilan dan begitu juga dengan Si B yang ingin ke aras lima.
Contoh:
Si A: Tolong tekan butang tingkat 9.

Komen:

Perkara yang telah kita atau sesiapa sahaja lakukan sehari-hari atau menjadi rutin tidak memerlukan penggunaan bahasa atau ujaran yang lengkap kerana orang lain juga turut melakukan hal yang sama. Contoh lain yang boleh kita lihat ialah apabila ingin turun daripada bas, kita pasti mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas. Bayangkan jika setiap orang yang menaiki bas yang sama mengucapkan perkataan yang sama sudah pastinya pemandu tersebut sudah penat dan hanya mampu membalasnya dengan anggukan atau hanya kedengaran perkataan “sama-sama” sekali sahaja seperti “sama”. Namun, kita sudah memahami maksud yang disampaikan walaupun bukan dalam bentuk perkataan yang penuh.

Selasa, 15 Februari 2011

Seni Khat

Bahasa Melayu telah wujud pada zaman kedatangan Islam lagi. Pada asalnya bahasa Melayu ditulis dalam huruf jawi. Saya juga pernah mengikuti kelas Warisan Jawi yang merupakan subjek wajib bagi pelajar Program Pendidikan Bahasa Melayu di UPSI. Saya telah mempelajari pelbagai perkara semasa mengikuti kursus ini antaranya ialah belajar menulis jawi. Semasa zaman persekolahan dulu pun kita sudah belajar membaca dan menulis dalam huruf jawi. Sebagai seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam kita wajib untuk tahu membaca tulisan jawi. Kini, tulisan jawi telah ditulis dengan seni khat yang sungguh unik dan cantik namun ada sesetengah daripadanya yang tidak dapat saya baca. Terdapat beberapa contoh tulisan jawi yang menggunakan seni khat seperti di bawah. Bahasa yang digunakan sangat menarik dan banyak dipengaruhi oleh bahasa atau kosa kata zaman dahulu. Tulisan jawi ini ditulis dalam bentuk pantun.




Rebas hujan basah perahu,
Kayuh terlajak hala dermaga;
Kalau beban di atas bahu,
Hendak tak hendak kutanggung juga.


Delapan kunca beratus gantang,
Seguni sudah padinya hampa;
Apakah punca rezeki tak datang,
Cubalah telah salah siapa.

Kata diolah tidak terlupa,
Hujung penyudah kita menyebut;
Dengan Bismillah kita menyapa,
Alhamdulillah hamba menyebut.


Pucuk pauh kembang setangkai,
Pucuk putat dibuat ulam;
Jauh-jauh kasih terungkai,
Dekat-dekat kasih bersulam.



Komen:

Seni khat yang dipaparkan pada gambar di atas adalah ditulis dalam bentuk pantun empat kerat. Perkataan yang digunakan begitu puitis dan rima akhirnya adalah bersesuaian di antara baris. Bahasa Melayu juga boleh ditulis dengan menggunakan huruf jawi dengan menggunakan kata-kata yang puitis dan menarik. Kata-kata yang digunakan sebahagiannya daripada bahasa klasik dan gabungan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab. Pantun yang dihasilkan ini sangat bersesuaian dengan masyarakat kita dan memberi kesan kepada pembaca.