Jumaat, 18 Februari 2011

Walimatul Urus

Falsafah Perkahwinan Dalam Islam
Firman Allah S.W.T.
"Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui."

(Yaasin: 36)
Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan itu merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan.
Walimatulurus (Arab: وليمة‎) atau kenduri kahwin (seperti majlis santapan makanan) sunat diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat).
Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka.





Komen:

Setiap majlis perkahwinan yang akan diadakan diiringi dengan kad jemputan atau walimatul urus untuk menjemput tetamu bagi memeriahkan majlis. Jemputan biasanya terdiri daripada saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran dan kenalan lain. Kad jemputan biasanya mempunyai maklumat yang terperinci berkaitan majlis yang akan diadakan. Biasanya kad jemputan tersebut ditulis dengan menggunakan kata-kata yang menarik dan puitis seperti pantun atau hadis-hadis untuk mendoakan mempelai dan mengalu-alukan kehadiran para tetamu pada sesuatu majlis perkahwinan. Kad walimatul urus ini juga menggunakan kata panggilan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat mengikut pangkat yang diperoleh contoh dari orang-orang kenamaan hinggalah orang biasa. orang Melayu begitu terkenal dengan budi bahasa dan santun dalam menyampaikan hasrat hati terutama apabila mengundang tetamu bertandang ke rumah. Selain disampaikan secara lisan, jemputan boleh disampaikan melalui penulisan seperti mengutus kad jemputan. Cara ini telah dilakukan sejak dahulu lagi dan terus kekal hingga kini. 



Rabu, 16 Februari 2011

Sepatah Kata Bermakna

Tajuk diari pada hari ini mengisahkan dialog yang bermakna walaupun hanya diutarakan dengan menggunakan sepatah perkataan sahaja. Situasi ini dapat dilihat semasa saya menaiki lif di kolej. Setiap orang yang masuk ke dalam lif tersebut mempunyai destinasi yang berbeza maksudnya ialah aras yang ingin ditujui berbeza. Namun begitu perkara ini sudah menjadi perkara biasa apabila mereka yang mula-mula masuk ke dalam lif akan menekan butang lif. Seterusnya dialog seperti di bawah akan sentiasa kedengaran.
       Si  A: Sembilan
       Si B: Lima
       Si C : Tujuh
Dialog di atas menunjukkan bahawa perkataan yang dituturkan sudah dapat difahami walaupun tidak menggunakan ayat yang penuh iaitu Si A meminta untuk menekan butang Sembilan dan begitu juga dengan Si B yang ingin ke aras lima.
Contoh:
Si A: Tolong tekan butang tingkat 9.

Komen:

Perkara yang telah kita atau sesiapa sahaja lakukan sehari-hari atau menjadi rutin tidak memerlukan penggunaan bahasa atau ujaran yang lengkap kerana orang lain juga turut melakukan hal yang sama. Contoh lain yang boleh kita lihat ialah apabila ingin turun daripada bas, kita pasti mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas. Bayangkan jika setiap orang yang menaiki bas yang sama mengucapkan perkataan yang sama sudah pastinya pemandu tersebut sudah penat dan hanya mampu membalasnya dengan anggukan atau hanya kedengaran perkataan “sama-sama” sekali sahaja seperti “sama”. Namun, kita sudah memahami maksud yang disampaikan walaupun bukan dalam bentuk perkataan yang penuh.

Selasa, 15 Februari 2011

Seni Khat

Bahasa Melayu telah wujud pada zaman kedatangan Islam lagi. Pada asalnya bahasa Melayu ditulis dalam huruf jawi. Saya juga pernah mengikuti kelas Warisan Jawi yang merupakan subjek wajib bagi pelajar Program Pendidikan Bahasa Melayu di UPSI. Saya telah mempelajari pelbagai perkara semasa mengikuti kursus ini antaranya ialah belajar menulis jawi. Semasa zaman persekolahan dulu pun kita sudah belajar membaca dan menulis dalam huruf jawi. Sebagai seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam kita wajib untuk tahu membaca tulisan jawi. Kini, tulisan jawi telah ditulis dengan seni khat yang sungguh unik dan cantik namun ada sesetengah daripadanya yang tidak dapat saya baca. Terdapat beberapa contoh tulisan jawi yang menggunakan seni khat seperti di bawah. Bahasa yang digunakan sangat menarik dan banyak dipengaruhi oleh bahasa atau kosa kata zaman dahulu. Tulisan jawi ini ditulis dalam bentuk pantun.




Rebas hujan basah perahu,
Kayuh terlajak hala dermaga;
Kalau beban di atas bahu,
Hendak tak hendak kutanggung juga.


Delapan kunca beratus gantang,
Seguni sudah padinya hampa;
Apakah punca rezeki tak datang,
Cubalah telah salah siapa.

Kata diolah tidak terlupa,
Hujung penyudah kita menyebut;
Dengan Bismillah kita menyapa,
Alhamdulillah hamba menyebut.


Pucuk pauh kembang setangkai,
Pucuk putat dibuat ulam;
Jauh-jauh kasih terungkai,
Dekat-dekat kasih bersulam.



Komen:

Seni khat yang dipaparkan pada gambar di atas adalah ditulis dalam bentuk pantun empat kerat. Perkataan yang digunakan begitu puitis dan rima akhirnya adalah bersesuaian di antara baris. Bahasa Melayu juga boleh ditulis dengan menggunakan huruf jawi dengan menggunakan kata-kata yang puitis dan menarik. Kata-kata yang digunakan sebahagiannya daripada bahasa klasik dan gabungan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab. Pantun yang dihasilkan ini sangat bersesuaian dengan masyarakat kita dan memberi kesan kepada pembaca.

Isnin, 14 Februari 2011

Pantun Warisan Berzaman

Pada hari ini saya berkesempatan untuk menjenguk ke laman sosial iaitu facebook milik Datin Asima Abdul Latiff. Saya begitu mengagumi pantun-pantun yang dihasilkan dan ditulis dalam facebook ini. Pantun-pantun yang ditulis menjadi pujian dan begitu menarik dengan menggunakan bahasa yang puitis. Pantun-pantun ini juga menarik minat sahabat-sahabatnya yang turut mempunyai minat yang sama. Berbalas-balas pantun menjadikan ikatan semakin erat dan mengandungi pelbagai tema yang menarik. Di sini saya ada sertakan pantun-pantun yang diperoleh daripada laman facebook beliau yang mengandungi pelbagai tema terutamanya persaudaraan sesama insan.
                                               
                             
Gadis Melayu
Singgah di Muar usahlah lupa,
Urap beremi pembuka selera;
Bangga si ibu bangga si bapa,
Punyai anak cukup segala.
Dalam perahu buah kelapa,
Kelapa dibilang satu persatu;
Kalaulah tahu anak siapa,
Nak saya pinang buat menantu.
serabai,keranji,pisang dan betik,
turut ku hidang jeruk kedondong;
pandai mengaji,wajah pun cantik,
sungguh sejuk perut ibu mengandung.
Kuih serabai manisan betik,
Dihidang juga pisang sesikat;
Mengaji pandai rupa pun cantik,
Lembut bahasa ramai terpikat.
Guru
Di dalam kolah banyak puru,
puru dibuang di dalam paya;
Ramai guru dikatakan guru,
guru yang mana membawa cahaya?
Kalau berburu di hutan Kediri,
Jangan pula pergi sendiri;
Jika guru kencing berdiri,
Murid pula kencing berlari.
Heboh di Sibu orang diliwat,
ibunda menangis mengenang anak;
Lurusnya paku ada alamat,
sudah dikikis hujung berombak?
Lurus jarum lurus kelindan,
kain yang robek dijahit bidan;
Yang baik jadikan tauladan,
yang buruk jadikan sempadan.
Cinta
Sulam manik indah rupawan,
berseri lagi sulam kerawang;
bila jauh rindu-rinduan,
bila dekat bertambah sayang.
bila jauh berkirim salam,
sudah dekat berkunjung-kunjungan;
meskipun jauh di hujung alam,
kasihmu tetap dalam kenangan.
Ulam pegaga tambah selera,
daun sireh bertemu urat;
hidup di dunia hanya sementara,
carilah keberkatan dunia dan akhirat.
Songket
Mudik-mudik orang berakit
Bujang memancing ikan temoleh
Hilang batik berganti songket
Songket berganding cindai terpilih
Bertanam betik di Kampung Tualang,
Di Kampung Telian bertanam rumbia;
Batik cantik songket gemilang,
Hadiah bangsa buat dunia.
             
Komen:
Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang berangkap. Jika setiap rangkap terdiri daripada empat baris, maka dua baris pertama itu dikenali sebagai pembayang dan dua baris lagi mengandungi maksud. Kini, pantun masih lagi digunakan dan menjadi alat komunikasi dalam masyarakat Melayu. Pantun masih menjadi pilihan sama ada dalam upacara rasmi mahupun perbualan harian biasa. Warisan Melayu ini harus dikekalkan kerana bahasa yang terdapat dalam pantun merupakan seni yang cukup indah dan puitis. Jika diperhatikan daripada contoh-contoh pantun yang dihasilkan di atas, bahasa yang digunakan amat bersesuaian dengan masyarakay kita pada hari ini dan zaman dahulu iaitu seola-olah terdapat kesinambungan antara kedua-duanya. Oleh itu, bahasa merupakan warisan berzaman yang harus dipelihara agar keseniannya tidak tercemar.

Jumaat, 11 Februari 2011

Kata Ganda Berirama

Kata ganda bersajak atau berima ialah kata ganda yang mengalami persamaan atau penyesuaian bunyi (rima) di pangkal, di hujung, atau seluruhnya apabila digandakan.

Contohnya:

persamaan bunyi di pangkal: lalu-lalang, beli-belah, dentam-dentum
persamaan bunyi di hujung: karut-marut, cerai-berai, calar-balar
penyesuaian bunyi seluruhnya: compang-camping, dolak-dalik, huyung-hayang



Persamaan Bunyi
di Pangkal
Persamaan Bunyi
di Hujung
Penyesuaian bunyi
Seluruhnya
batu-batan
anak-pinak
bolak-batik
beli-belah
calar-balar
compang-camping
bengkang-bengkok
cerai-berai
dolak-dalik
corat-coret
comot-momot
gopoh-gapah
degap-degup
gotong-royong
gunung-ganang
dentam-dentum
karut-marut
haru-biru
desas-desus
kaya-raya
huru-hara
gembar-gembur
kuih-muih
huyung-hayang
gerak-geri
pindah-randah
kacau-bilau


Komen:
Pengajaran bahasa Melayu sememangnya merupakan suatu perkara yang menarik dan kreatif. Kepelbagaian dalam berbahasa dan kata-kata yang digunakan melambangkan penutur yang peka terhadap perkembangan bahasa. Kewujudan kata-kata yang menarik dan puitis menjadikan seseorang lebih berminat dalam menggunakan bahasa dan tidak hanya berfokuskan kepada kata-kata yang menjadi kebiasaan semata-mata.

Khamis, 10 Februari 2011

Paradoks

 “Sedih sebab gembira”
“Bukan susah untuk senang”
“suatu kejayaan bermula daripada kegagalan”

Kata-kata di atas menunjukkan salah satu daripada kebijaksanaan dalam berbahasa. Terdapat pertentangan maksud bagi perkataan yang digunakan. Perkataan di atas jika dilihat mempunyai makna yang berbeza atau antonim iaitu berlawanan. Kata-kata yang diujarkan kadang-kala membawa maksud yang tersirat dan si pendengar atau pembaca perlu pandai untuk mentafsirkannya. Contohnya dalam frasa sedih sebab gembira mungkin kita dapat lihat dalam situasi apabila seseorang itu memperoleh kejayaan atau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Namun riak wajahnya tidak meggambarkan bahawa dia gembira kerana menitiskan air mata. Sepatutnya seseorang itu perlu menunjukkan reaksi yang positif seperti tersenyum tetapi sebaliknya dia menitiskan air mata kerana terlalu gembira. Seseorang pasti akan menegurnya dan dia membalas dengan berkata dia sedih atau menitiskan air mata kerana terlalu gembira.


Komen:

Kata-kata yang berlawanan ini juga dapat memberikan kesan yang mendalam dalam diri seseorang yang dapat memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan.  Hal ini dapat dilihat dalam situasi apabila memberikan motivasi kepada pelajar mahupun sesiapa sahaja yang pernah menemui kegagalan dalam hidupnya. Kata-kata yang bernas dan boleh menaikkan semangat supaya tidak terus berputus asa adalah seperti contoh di atas iaitu “suatu kejayaan bermula daripada kegagalan”. Kesimpulannya, bahasa yang kreatif dan bermakna mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada seseorang.

Rabu, 9 Februari 2011

Majulah sukan untuk negara

Tajuk pada hari ini ialah berkaitan dengan bahasa yang digunakan untuk menaikkan semangat sesuatu pasukan. Setiap pasukan sudah semestinya mempunyai kata-kata atau laungan semangat masing-masing bagi menggambarkan kekuatan pasukan masing-masing. Sebagai contoh, kita dapat melihat sendiri laungan untuk sesuatu pasukan terutamanya dalam sukan bola sepak. Pasukan bola sepak setiap negeri mempunyai slogan atau laungan semangat masing-masing. Sesetengahnya dijadikan sebagai lagu bagi menampakkan lagi semangat berpasukan serta sokongan padu yang diberikan. Contohnya bagi pasukan bola sepak negeri Kelantan, kata-kata yang dilaungkan ialah Gomo Kelate Gomo, Negeri Sembilan pula ialah Hoben Jang Hoben, Kedah pula ialah Pulun Kedah Pulun dan banyak lagi contoh lain.









                             
Komen:

Setiap negeri mempunyai loghat atau dialeknya yang tersendiri. Bahasa yang digunakan dalam contoh di atas adalah untuk menunjukkan cinta terhadap negeri kelahiran masing-masing. Setiap perkataan yang dijadikan motto bagi pasukan masing-masing melambangkan semangat berpasukan dan bahasa dapat menyatukan semua rakyat di sesebuah negeri atau daerah. Kekuatan sesebuah pasukan juga bergantung kepada kata-kata semangat yang dilaungkan oleh penyokong. Bahasa atau dialek akan dapat menambah keyakinan untuk terus mara.